Tenaga Kerja Malaysia Belum Bersedia hadapi IR 4.0

Malaysia Belum Bersedia Hadapi Revolusi Industri 4.0 – Perubahan landskap digital semakin hari semakin berkembang. Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) antaranya, bakal merubah tradisi tempat kerja dari tugasan yang berasaskan sumber manusia kepada kecerdasan buatan (A.I.).

Analisis Bank Negara Malaysia mendedahkan, walaupun Malaysia diklasifikasikan sebagai negara yang mengadaptasi IR 4.0 dan giat melaksanakan transformasi digital di rantau ini, ekonomi kita masih lagi ketinggalan berbanding Jepun dan Singapura yang jauh kehadapan.

Analisis juga mendedahkan, Malaysia harus meningkatkan lagi usaha dan pengetahuan untuk menjadi peneraju inovasi digital dalam memanfaatkan potensi pasaran dan ekonomi sepenuhnya.

Kajian Tinjauan Kertas Putih INTI & IDC Terhadap Revolusi Industri 4.0.

Transformasi Revolusi Industri 4.0 Malaysia

Malaysia telah pun menerajui keperluan transformasi digital secara serius melalui pelbagai inisiatif kerajaan dan agensi-agensi terkait sejak 2 tahun lalu. Pada tahun lepas sahaja, peruntukan lebih daripada RM5 billion telah disediakan bagi menyokong peralihan ke Industri 4.0.

Usaha yang dilaksanakan merangkumi;

  • bantuan kepada PKS untuk melaksanakan Penilaian Kesediaan Dasar Negara ke atas Industri 4.0 melalui Perbadanan Produktiviti Malaysia (Malaysia Productivity Corporation);
  • Tabung Transformasi Perindustrian Digital (Industry Digitalisation Transformation Fund) dengan kadar faedah bersubsidi sebanyak 2% di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk membantu mempercepatkan penggunaan teknologi pintar ke arah memacu automasi, robotik dan kecerdasan buatan dalam industri;
  • dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Malaysia Investment Development Authority) menyediakan geran yang sesuai melalui Dana Berimpak Tinggi untuk aktiviti IR 4.0 seperti R&D, memperolehi pensijilan dan piawaian antarabangsa, memodenkan kemudahan dan pelesenan, atau pembelian teknologi baru atau berteknologi tinggi.

Insentif lain termasuk peruntukan RM1 billion untuk Sambungan Fiber Kebangsaan (National Fibre Connectivity) bagi meningkatkan infrastruktur jalur lebar negara, dan peruntukan RM10 juta untuk e-Sports, trending yang semakin berkembang dikalangan generasi muda sebagai kerjaya baru.

Walaupun berbagai insentif telah diketengahkan, sektor perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) yang menyumbang 38.3% KDNK Malaysia masih terus ketinggalan. Lebih 1/3 daripada 500 tempat yang diperuntukan untuk Penilaian Kesediaan Industri 4.0 masih lagi tidak dimanfaatkan.

Selain itu, penggunaan adaptasi digital dikalangan PKS masih tidak sampai 20% dan kebanyakkan syarikat perkilangan pula hanya memanfaatkan kurang 50% penggunaan proses automasi.

Bagi sektor lain di Malaysia yang telah mengamalkan pembangunan digital juga masih menampakkan jurang dalam strategi digital. Ia sama ada disebabkan perancangan organisasi yang tersasar atau kelemahan pelan hala tuju dalam memanfaatkan sumber digitalisasi secara sistematik.

Kajian Tinjauan Kertas Putih INTI & IDC Terhadap Revolusi Industri 4.0.

Kajian Tinjauan Kertas Putih INTI & IDC Terhadap Revolusi Industri 4.0

INTI International University & Colleges (INTI) dan International Data Corporation (IDC), telah ditauliahkan bagi membangunkan kaji selidik terhadap lebih 560 responden.

Kajian merangkumi pelajar, graduan serta ibu bapa, bertujuan mendedahkan persediaan generasi kini sebagai sebahagian tenaga kerja dalam arus digitalisasi. Berdasarkan hasil kajian menjelaskan fakta realiti seperti di bawah;

  • Lebih 63% pelajar dan juga graduan baru masih tidak mampu menyatakan apa yang diperlukan oleh IR 4.0.
  • 30% pelajar merasakan mereka langsung tidak bersedia menyertai tenaga kerja IR 4.0.
  • Lebih separuh graduan kaji selidik mempercayai bahawa organisasi belum bersedia menghadapi tenaga kerja generasi baru secara menyeluruh.

Pembentangan kertas putih dan hasil kajian ini diwakili oleh Tan Lin Nah, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif INTI; Jensen Ooi, Pengurus Penyelidikan IDC Asia Pasifik; Salika Suksuwan, Pengarah Eksekutif, Modal Insan PwC Malaysia; Amran Hassan, Ketua Inovasi Maybank; dan Wong Chan Wai, Ketua Unit Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan & Pembangunan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad Malaysia (HRDF).

Para pelajar, graduan serta ibu bapa masih kurang jelas tentang IR 4.0.

Walaupun berita IR 4.0 telah tersebar sejak 3 tahun lalu, lebih separuh (63%) pelajar dan siswazah masih tidak dapat menjelaskan elemen yang diperlukan oleh IR 4.0. Lebih separuh (54%) dari kalangan ibu bapa juga tidak mempunyai definasi yang jelas serta kemampuan untuk membincangkan tentang IR 4.0 dan mengapa ia relevan kepada transformasi organisasi.

Ini menunjukkan, generasi kini masih belum memahami kepentingan transformasi digital serta bagaimana ia bakal memberi kesan kepada pekerjaan yang didayakan secara digital. Walaupun penekanan pendidikan STEM semakin meningkat, ramai lagi pelajar yang tidak dapat mengenalpasti pilihan pendidikan serta kerjaya yang dipengaruhi perubahan digital.

Pelajar berasa tidak bersedia menyertai tenaga kerja IR 4.0.

Sejumlah 30% pelajar menyatakan mereka benar-benar tidak bersedia untuk penempatan kerja yang didayakan oleh IR 4.0. Ini termasuk kemahiran teknologi yang diperlukan untuk bekerja dalam kemajuan inovatif sedia ada di tempat kerja hari ini.

Sejumlah 28% pula menyatakan bahawa pengalaman akademik mereka di universiti adalah satu-satunya pendedahan yang diterima mengenai IR 4.0. Tiada sebarang latihan atau pengalaman kerja lain untuk meningkatkan pemahaman mereka. Ini menimbulkan kebimbangan kerana kebanyakkan pelajar masih belum mendapat pendedahan secukupnya terhadap IR 4.0 dan terlalu bergantung kepada program akademik untuk menjamin pekerjaan.

Ini juga memberi penekanan agar pihak universiti menilai sejauh mana program semasa yang ada mampu menyediakan latihan dan pengalaman realiti yang diperlukan oleh graduan untuk menghadapi pasaran pekerjaan masa hadapan melangkaui sekadar pembelajaran teori serta akademik.

Pendidikan tinggi masih memainkan peranan penting dalam persediaan kerjaya, tetapi tidak mencukupi dalam menyediakan penempatan kerja.

Melihat kepentingan platform pendidikan tinggi bertauliah, hampir kesemua ibu bapa (93%) mendapati ia tetap releven untuk kepentingan kerjaya pelajar. Bagaimanapun 62% ibu bapa berpendapat, kursus semasa tidak menyediakan pelajar menghadapi IR 4.0 kerana para akademik tidak mampu mengikuti perkembangan industri.

Kebimbangan ini diperkuatkan lagi dengan setiap kumpulan responden menaraf latihan akademik sebagai tidak digunapakai di tempat kerja (58% pelajar, 48% graduan dan 53% ibu bapa). Cabaran yang lain termasuk distereotaip secara negatif oleh rakan sejawat yang telah bekerja lebih lama, struktur warisan dalam syarikat, dan kekurangan pengetahuan literasi digital oleh pihak pengurusan tertinggi.

Kajian Tinjauan Kertas Putih INTI & IDC Terhadap Revolusi Industri 4.0.

Memanfaatkan berbagai sumber tambahan sebagai persediaan IR 4.0

Walaupun terdapat pelbagai cabaran ketidaksediaan digital, pelajar hari ini kebanyakkannya tergolong dalam Generasi Z yang juga dikenali sebagai generasi digital. Mereka dilahirkan dalam era teknologi digital sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Antara 3 teknologi teratas berdasarkan kecerdikan digital pelajar masa kini berdasarkan pengalaman dan pendedahan adalah seperti Internet of Things (IoT) seramai 47%, Cloud Computing (38%) dan Kecerdasan Buatan (34%).

Walaupun generasi muda mengiktiraf kepentingan kemahiran teknologi, namun tanpa pemahaman jelas tentang IR 4.0, mereka masih perlu memperkasa bakat teknologi sebagai kemahiran tempat kerja dari sekadar penggunaan peribadi. Ini termasuk keupayaan bekerja dengan data besar, komunikasi mesin kepada mesin dan fungsi displin digitalisasi yang berbeza dalam sesebuah organisasi.

Di samping itu, para ibu bapa menarifkan kemahiran dalam membuat sesuatu keputusan sebagai kemahiran ke-3 teratas (47%). Ini mencerminkan pengalaman mereka yang telah lama bekerja serta nilai yang ditekankan dalam membuat keputusan secara profesional mahu pun peribadi.

Kajian Tinjauan Kertas Putih INTI & IDC Terhadap Revolusi Perindustrian 4.0.

Lebih separuh daripada para pelajar (52%) dan ibu bapa (57%) yang telah dikaji selidik mempercayai bahawa organisasi kini telah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan generasi bakat baru. Ini berdasarkan kepercayaan bahawa majikan hari ini mencari bakat baru yang lebih muda sebagai pekerja teknologi dalam memperkasa usaha transformasi digital mereka.

Namun, lebih separuh responden graduan juga tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa organisasi hari ini telah bersedia mengadaptasi proses transformasi digital. Ini merujuk kepada perkembangan transformasi digital yang amat perlahan dikalangan PKS.

Ini juga menunjukkan bahawa pembangunan bakat digitalisasi bukan sahaja datang dari kesediaan peribadi dan institusi pengajian, tetapi juga kesediaan majikan serta organisasi dalam memanfaatkan keupayaan melaksanakan transformasi revolusi perindustrian 4.0 secara efektif.

Justeru, pembentangan ini juga mengalu-alukan pakar-pakar industri untuk menilai hasil keseluruhan serta memberikan cadangan lanjut berkenaan penyediaan graduan menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dengan persediaan serta kemahiran yang lebih mampan.

Baca lagi: Memperkasa Gen Z Mendepani Cabaran Abad Ke-21

5 Thoughts to “Malaysia Belum Bersedia Hadapi Revolusi Industri 4.0”

  1. AvatarMarzuki Rmn

    Assalam tuan.. fakta ttg PKS mmg ada diketengahkan yg sebahagian besar masih belum memanfaatkan sumber penuh teknologi selaras IR 4.0. Penumpuan penuh industri dan akademik sbg pihak bertauliah juga mmg sgt releven dan penting dlm menyediakan lapisan tenaga kerja yg digital illiterate pada fokus industri sebenar.

  2. Ini bermakna patutnya 3 tahun lepas isu ini dapat diselesaikan atau direalisasikan ya Tn.
    Teori yang diperolehi oleh pelajar wajar digabungkan dengan pengalaman. Ertinya Majikan mesti berani ambil lepaskan graduan untuk bekerja dengan mereka bermula daripada sifar. Andai semua Majikan harapkan pengalaman terlebih dahulu daripada graduan ini.. Bukan sahaja revolusi industri.. Bidang lain juga sukar untuk berkembang dan terima anjakkan.
    Perdu Cinta recently posted…Kualitinya Yang DipandangMy Profile

  3. Satu cabaran baru untuk kita juga supaya tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital. Tidak lupa juga kepentingan sistem Pendidikan dan komitment dari majikan untuk merealisasikannya.

  4. Sejumlah 30% pelajar menyatakan mereka benar-benar tidak bersedia untuk penempatan kerja yang didayakan oleh IR 4.0. Ini termasuk kemahiran teknologi yang diperlukan untuk bekerja dalam kemajuan inovatif sedia ada di tempat kerja hari ini.

    barangkali jurusan yg mereka ambil tiada kaitan dgn kemahiran teknologi atau mereka sendiri masih ketinggalan dgn teknologi…

  5. Baca blog KK baru tahu pasal IR 4.0 hihihi sebelum tak tahu apa2 pun aduhaiii

Leave a Comment

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.