Assalamualaikum. Sejak awal penglibatan menulis blog, pelbagai perkongsian tentang kaedah dan teknik optimasi enjin carian atau SEO (search engine optimization) sudah banyak dibincangkan oleh pemain digital dipelbagai lapangan industri.
Secara tradisional, teknik SEO ini dipraktikkan adalah agar artikel yang ditulis mampu menduduki di peringkat pertama atau ranking terbaik di muka pertama paparan enjin carian terhadap topik yang disasarkan atau SERP (search engine result page) seperti Google.
Dari situ, kebarangkalian untuk menjana jumlah pengunjung yang tinggi ke sesebuah artikel dan laman web adalah lebih besar. Ia sekaligus membuka peluang yang lebih cerah untuk mendapat lebih ramai prospek dan pelanggan. Melalui teknik SEO dapat membantu sesebuah artikel kepada capaian prospek pembaca dengan lebih luas.
Namun, kemunculan aplikasi kecerdasan buatan (AI) telah memberi kesan besar kepada kredibiliti enjin carian dan SEO hari ini.
Salah satu contoh adalah seperti carian saya di bawah ini.

Teknik SEO Dan Evolusi AI
Kemunculan pelbagai aplikasi AI semakin mendominasi pilihan pengguna.
Kini, ramai lebih senang mencari info secara ‘straight to the point’.
Buat apa nak Google.. dari menghabiskan masa membaca penjelasan panjang seperti artikel yang saya tulis ini, pengguna digital kini lebih terdorong dengan kaedah ‘tanya dan jawab’.
Platform AI menyediakan jawapan sepantas kilat!
Platform-platform AI seperti Meta AI, ChatGPT, Gemini serta pelbagai lagi menawarkan solusi carian maklumat yang pantas, padat dan mesra pengguna. Maka, tak perlu susah-susah nak mengGoogle dan mengklik artikel demi artikel untuk info, kecuali sebagai info tambahan.
Oleh itu jika ditanya, adakah kredibiliti enjin carian utama seperti Google yang selama ini menjadi nadi maklumat kepada seluruh dunia tergugat dengan perkembangan AI?
Jawapannya ya.
Adakah teknik SEO tradisional sudah terkubur?
Saya mendapat beberapa jawapan. Dua daripadanya saya kongsikan di sini.

Kini, enjin carian utama seperti Google bukan sahaja perlu bersaing sesama platform enjin carian yang lain, tetapi juga dengan platform AI yang lebih proaktif dalam mengumpul data dan memberi solusi kepada pencari maklumat dengan pantas.
Atas faktor tersebut, enjin carian seperti Google mula menggabungkan sistem AI untuk solusi jawapan ringkas kepada pencari maklumat agar dapat terus kekal releven.
Ruang carian seperti Google kini menyediakan ‘AI Overview’, iaitu jawapan ringkas dari hasil carian, padat dengan info penting kepada pengguna sepertimana aplikasi AI yang lain.
Kesannya.. hasil analitik kunjungan pembaca ke laman web dan blog mula merudum.
Artikel yang dipilih sebagai rujukan AI Overview mempunyai kebarangkalian tinggi untuk terus menerima kunjungan yang tinggi, itu pun nasib…

Era Jawapan Segera (AI Overviews)
Kini, kaedah carian zero-click semakin mendominasi enjin carian seperti Google dengan memaparkan jawapan terus kepada pengguna.
Google tidak lagi menilai teks semata-mata. Teknik SEO tradisional yang bersandarkan kata kunci (keyword stuffing) dan pautan (backlinks) tidak lagi mencukupi dalam ekosistem digital hari ini. SEO telah berkembang ke arah Pengoptimuman Pengalaman Carian (SXO – Search Experience Optimization) dan Optimasi enjin-jawapan (Answer-Engine Optimization – AEO).
Google juga semakin menitikberatkan isyarat pengalaman pengguna (UX) seperti kepantasan laman web, reka bentuk mesra mudah alih, dan masa lawatan pengguna pada sesebuah laman web turut menjadi penentu SEO hari ini.
Selain itu, penekanan E-E-A-T (Experience, Expertise, Authority, Trust) iaitu artikel-artikel dengan ciri-ciri pengalaman, kepakaran, autoriti dan kepercayaan tentang penulis dalam sesebuah topik yang ditulis juga menjadi faktor penilaian.
Perubahan besar dalam algoritma enjin carian ini turut dirasai peneraju digital global. Salah satu penjelasan yang menarik perhatian saya adalah oleh Neil Patel, pakar pemasaran digital dalam video bertajuk The SEO System Is Collapsing, Here’s What Replaces It.
Kesimpulannya, walaupun AI mengubah cara pengguna mencari maklumat, asas utama SEO dalam menyediakan maklumat melalui penyenaraian laman web masih diteruskan.
Namun ia tidak lagi menjamin bahawa, kedudukan SERP yang baik mampu menarik ramai pengunjung walaupun sesebuah artikel itu disenaraikan dalam paparan AI Overview.
Budaya zero-click dikalangan pengguna hasil kemudahan AI telah membuka perspektif baharu kepada pencari maklumat untuk info yang pantas, padat dan ringkas.
Apa pun, saya juga turut terkesan dengan peralihan ini. Namun bagi saya, menulis di laman web dan blog bukan semata-mata untuk mendapat jumlah pembaca yang tinggi, tetapi lebih kepada sasaran pembaca yang sesuai dengan industri atau kegiatan yang kita ceburi.
Berdasarkan pengalaman menulis, prospek pembaca berkualiti inilah yang membantu kelestarian kerjaya atau apa jua penglibatan secara jangka panjang. Ia amat membantu mengembangkan potensi kita dalam bidang yang diceburi. Bermula dari prospek pembaca dalam jumlah kecil menjadi kenalan, rakan industri dan rakan kerjasama yang ideal.
Lebih baik memfokuskan pengetahuan menulis dalam lapangan yang benar-benar kita fahami atau terlibat, dari sekadar menulis pelbagai topik untuk meraih viewers semata-mata.
Justeru, perubahan teknik SEO tradisional enjin carian ini juga menandakan dominasi pengembangan AI dan peralihan selera pengguna dalam era digital terkini.

Laman KhirKhalid.com berkongsi sudut pandangan dan jurnal pengalaman penulis.
> PROFIL PENULIS.


