Assalamualaikum.
Selamat datang ke laman KhirKhalid.com
Saya Khairul Anuar Md Khalid atau dikenali sebagai Khir Khalid dikalangan ahli keluarga dan industri media.
Seorang Penulis Kandungan yang berpengkalan secara online di Johor. Saya kini bergiat secara freelance dengan beberapa kerjasama media digital bersama agensi perhubungan awam di Malaysia dan Singapura.
Menulis di ruangan digital sejak 2011, laman ini menjadi lapangan saya mengabadikan pengalaman dan portfolio penglibatan peribadi.

Biodata Dan Kerjaya
Saya seorang warga Malaysia.
Suami kepada seorang isteri dan bapa kepada 4 orang cahaya mata.
Dilahirkan di Johor Bahru, saya dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di Pontian sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1994.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran (BA Hons Marketing) dari University of Wolverhampton, United Kingdom pada 1997.
Pengalaman lebih 25 tahun kerjaya berkisar dalam bidang pemasaran, komunikasi korporat dan perhubungan awam. Pendedahan dalam industri komunikasi media menjadi pemangkin minat menulis. Ia membuka perspektif baharu terhadap budaya kerja secara remote working dan digital nomad yang semakin menjadi pilihan dalam kalangan penggiat industri digital.
Saya pernah terlibat sebagai kolumnis Utusan Malaysia dan Marketing In Asia serta disenarai oleh TalentCorp, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia dalam ‘MIA 70 Rising Personalities On Linkedin In Malaysia in 2020’.
Saya juga pernah menyandang sebagai ahli panel penasihat kepada Persatuan Asrama Belia WP Kuala Lumpur pada 2015 hingga 2020.
Tahun 2024 menjadi titik perubahan. Saya memilih untuk kembali menetap di Pontian atas aspirasi peribadi dan menulis dengan kerjasama agensi.

Penglibatan Komuniti
Kini disamping menulis, saya turut menggalas amanah sebagai salah seorang Imam dibawah pentauliahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor.
Berdasarkan pengalaman dan lulusan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, saya diberi kepercayaan sebagai Imam 2 dan Penolong Setiausaha di Surau Kampung Permata. Saya juga dilantik sebagai AJK Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian sejak 2025.
Mudah-mudahan ia menjadi landasan perbaiki diri dan menambah ilmu pada usia yang menjejaki fasa 50-an ini.
Akhir kata, semoga artikel-artikel di laman ini dapat memberi nilai tambah kepada rujukan di enjin carian dan bermanfaat kepada pembaca, insyaAllah.
Saya boleh dihubungi di khirkhalidmy@gmail.com.
Salam hormat.
Khir Khalid
→ Laman Utama ←


