Assalamualaikum. Ada cadangan dari rakan-rakan pembaca agar saya berkongsi input tentang prosedur pentauliahan Imam dan Bilal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Mungkin ia boleh menjadi salah satu rujukan bagi anda yang sedang mencari maklumat ini.
Bagi saya, amanah sebagai Imam, Bilal dan Noja menggalas tanggungjawab yang besar. Ia bukan sekadar mengimamkan solat, melaungkan azan atau memastikan tahap kebersihan masjid dan surau, tetapi ada tertib ilmu, rukun dan adab yang perlu dijaga dalam menyempurnakan setiap tuntutan ibadah.
Komitmen menjadi tunjang utama. Tugas seorang Imam adalah memimpin solat fardu berjemaah merangkumi aktiviti pengimarahan masjid atau surau, membudayakan Al Quran, memimpin bacaan Yasin, Tahlil dan pelbagai himpunan doa hinggalah memimpin solat jenazah serta segala tuntutan fardu kifayah dalam kariah setempat.
Aspirasi makmum perlu diberi perhatian, begitu juga dengan kesepakatan sesama ahli jawatankuasa dan ahli kariah. Atas semua itu, keikhlasan adalah tunggak utama yang perlu ada dalam menggalas semua amanah ini.

Prosedur Pentauliahan Imam Dan Bilal Negeri Johor
Pada artikel ini, saya kongsikan pengalaman peribadi saya sendiri dalam melalui proses pentauliahan JAINJ sebagai seorang Imam kariah di Surau Kampung Permata, Pontian.
Semuanya bermula dalam satu mesyuarat jawatankuasa surau yang telah mencadangkan saya sebagai salah seorang Imam. Cadangan tersebut telah disepakati sebulat suara dan memberi kepercayaan untuk saya menggalas amanah ini. Mesyuarat dan perlantikan ini adalah proses utama yang diperlukan dalam prosedur pentauliahan JAINJ.
Selepas perlantikan melalui mesyuarat rasmi jawatankuasa surau, saya seterusnya perlu mengisi Borang Maklumat Pegawai Masjid Dan Surau bersama Surat Tawaran Perlantikan Sebagai Imam / Bilal / Noja dan Borang A Permohonan Pegawai Masjid Dan Surau (Negeri Johor) yang dikeluarkan oleh Pejabat Kadi Daerah. Ada beberapa perkara yang perlu diisi merangkumi maklumat peribadi, latar belakang pendidikan berserta pengesahan dari Pengerusi surau dan Penghulu sebelum ia diserahkan kembali.
Tidak berapa lama selepas itu, saya dihubungi oleh Pegawai Agama dari Pejabat Kadi Daerah untuk menghadiri sesi temuduga pada masa dan tarikh yang ditetapkan. Semua proses ini dibawah penyeliaan Bahagian Pengurusan Masjid Dan Surau di Pejabat Kadi Daerah Pontian.
Sesi temuduga dijalankan oleh Pegawai Agama melalui proses temubual dan penilaian seperti tahap pengetahuan agama, pembacaan surah dan ayat Al Quran bagi menilai tajwid, tartil dan makhraj, membaca khutbah dan doa-doa termasuk berkaitan fardu kifayah.
Seterusnya, pihak pejabat agama akan menilai sama ada seseorang itu layak atau tidak. Selang beberapa hari, saya menerima surat perlantikan dan kebenaran bertugas sementara yang dikeluarkan oleh Pejabat Kadi Daerah sebelum menerima Sijil Pentauliahan Rasmi dari Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Elaun Saguhati Imam, Bilal Dan Noja
Imam, Bilal atau Noja menerima elaun dari Pejabat Agama.
Namun perlu kita faham ia hanya saguhati penghargaan atas komitmen menegakkan syiar Islam dan sumbangan fardu kifayah dalam sesebuah kariah.
Imam, Bilal dan Noja dikategorikan oleh pejabat agama sebagai Pegawai Masjid dan Surau. Tidak semua Pegawai Masjid dan Surau menerima elaun. Ada kategori Pegawai Masjid dan Surau Bertauliah yang menerima elaun dan tidak menerima elaun. Kadar elaun untuk taraf masjid dan surau juga berbeza.
Imam Masjid menerima elaun dari JAKIM dan JAINJ sebanyak RM850.00 sebulan, manakala Bilal dan Noja Masjid menerima elaun dari JAINJ sebanyak RM200.00 dan RM100 sebulan.
Bagi Imam dan Bilal surau pula menerima elaun JAINJ sebanyak RM200.00 dan RM100.00 sebulan. Noja surau tidak menerima elaun dari JAINJ. Selebihnya terpulang pada budi bicara dan kesepakatan jawatankuasa pengurusan sesebuah masjid dan surau itu sendiri.
Justeru itu, menggalas amanah sebagai Pegawai Masjid atau Surau bukanlah satu kerjaya demi elaun dan imbuhan melainkan amanah dan tanggungjawab yang memerlukan ilmu, pengorbanan masa dan tenaga serta keikhlasan untuk menyumbang bakti hanya kerana Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberkati semuanya… aamiin.
Baca lagi > Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian.

Laman KhirKhalid.com berkongsi perspektif dan pengalaman penulis dalam penglibatan digital, jurnal kembara dan siasah komuniti. > PROFIL.



Terima kasih atas perkongsian. Semiga Allah memberkati segalanya.. aamiin
alhamdulillah tahniah dik imam KK besar tanggung amanah tu moga Allah permudahkan urusan laksana tugasnya