Assalamualaikum. Saya terpanggil untuk mencoretkan satu lagi pengalaman iktikaf. Kali ini di Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road, Singapura. Masjid ini terletak bersebelahan dengan Makam Habib Noh yang telah saya kongsikan pada artikel sebelum ini.
Ia bukanlah sebuah masjid yang besar berdasarkan keluasan. Namun, masjid ini telah melalui sejarah dengan asal usul yang bermula sejak sekitar tahun 1860-an lagi. Sebuah masjid dengan nilai-nilai sejarah yang akan terus dijaga oleh masyarakat Islam Singapura.
Sebagai salah seorang individu yang terlibat dalam aktiviti pengimarahan masjid dan surau, pengalaman beriktikaf di masjid ini juga memberi input ilmiah bersama kenangan yang harus saya abadikan sebagai jurnal penghargaan.

Masjid Haji Muhammad Salleh
Masjid Haji Muhammad Salleh telah dibina sepenuhnya pada tahun 1903 oleh Haji Muhammad Salleh, seorang saudagar dari Batavia (Jakarta). Beliau telah menetap di Singapura pada pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20.
Namun, asal usul sejarah ini telah pun bermula pada sekitar tahun 1860-an, apabila Haji Muhammad merancang untuk membina sebuah surau di Gunung Palmer bagi memudahkan Habib Noh beribadah dan meneruskan usaha dakwah dengan lebih selesa. Haji Muhammad amat menghormati Habib Noh dan mereka merupakan sahabat karib.
Namun hasrat itu tidak tercapai disebabkan Habib Noh telah meninggal dunia pada tahun 1886 sebelum surau itu dapat disiapkan.
Surau tersebut akhirnya berjaya disiapkan pada tahun 1902. Setahun selepas itu, surau tersebut digantikan dengan bangunan kekal dan diberi nama Masjid Haji Muhammad Salleh. Struktur masjid tersebut kekal hingga hari ini.
Masjid ini juga telah melalui proses pengubahsuaian pada tahun 1987. Baru-baru ini, ia telah dinaiktaraf menjadi sebuah kompleks bersama makam Habib Noh dan Habib Abdurrahman serta menambahbaik prasarana masjid melalui projek pemuliharaan yang melibatkan kos bernilai SGD 2 juta dan dibuka semula pada 2026.

Warisan Sejarah Islam Singapura
Alhamdulillah, masjid ini diurus dengan sangat baik… persekitaran yang bersih, karpet yang lembut bersama sistem penghawa dingin dan pencahayaan yang tenang menimbulkan suasana yang sangat selesa untuk beriktikaf dan solat di masjid ini.
Senibina masjid menampilkan gabungan unik elemen tradisional Melayu bersama gaya klasikal Eropah dan pengaruh senibina Timur Tengah. Ia kini boleh menampung antara 700 hingga 900 jemaah dalam satu-satu masa.
Masjid Haji Muhammad Salleh dengan motto ikonik ‘Spiritual Oasis In The City’ yang dikelilingi dengan arus kemodenan ini menjadi salah satu mercu tanda warisan Islam di Singapura.
Baca lagi > Berziarah Ke Makam Habib Noh Al-Habsyi

Laman KhirKhalid.com berkongsi pengalaman penulis tentang kehidupan, jurnal kembara dan penglibatan siasah komuniti. > PROFIL.


