Assalamualaikum. Tahun 2025 adalah tahun peralihan. Bermula sebagai ahli Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor (Cawangan Pontian) pada 2024, kini saya telah diberi kepercayaan menggalas amanah sebagai ahli jawatankuasa (AJK) bagi sesi 2025/27.
Semua bermula setelah saya diberi kepercayaan oleh jemaah Surau Kampung Permata untuk menyandang sebagai salah seorang imam. Bagi saya, menggalas amanah sebagai imam adalah satu tanggungjawab berat. Bukan mudah untuk saya menerima tawaran ini.
Namun, bila dijelaskan tentang beberapa situasi termasuk kurangnya penglibatan pelapis generasi muda dalam pentadbiran surau, saya akhirnya akur. Walaupun memasuki usia 50an bukan lagi dikira muda, namun kebanyakkan yang terlibat adalah pesara dan warga emas.
Maka berbekalkan secebis pengalaman dan kelayakan latarbelakang pendidikan agama yang ada, sememangnya tidak patut sekiranya saya menolak seruan jemaah agar menerima lantikan sebagai imam bertauliah di kariah saya sendiri.

Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau
Disebalik mula mengatur persediaan untuk penglibatan digital di Johor pada 2024, ketika itu juga saya sudah mula saling berganti menggalas amanah sebagai imam surau, sehinggalah saya menerima pentauliahan imam oleh pejabat agama dan menjadi ahli persatuan.
Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau di daerah Pontian ini merupakan cawangan dibawah Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor. Cawangan lain yang bernaung dibawah persatuan adalah daerah Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Tangkak.
Ia merupakan organisasi bukan kerajaan yang menghimpunkan pegawai masjid dan surau yang terdiri daripada imam, bilal, noja dan pegawai sokongan masjid dan surau.
Ditubuhkan pada 1996 dibawah Pendaftar Pertubuhan Malaysia, tahun ini genap 30 tahun dalam usaha memperkukuh pengurusan institusi masjid dan surau disamping meningkatkan kopetensi agama dan tadbir urus serta penggerak program-program komuniti di Johor.
Sehingga kini, Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor (PPMSNJ – Caw. Pontian) memainkan peranan penting dalam penyatuan dan kebajikan ahli serta pemerkasaan modal insan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Pelbagai seminar, muzakarah dan program pemantapan siasah anjuran Pejabat Agama Daerah terus dijalankan.

Mengimarah Usaha Dakwah Dan Ukhwah
Alhamdulillah, 2026 merupakan tahun penghijrahan sepenuhnya saya dalam beberapa integrasi penglibatan yang harus diberi perhatian khusus. Keyakinan dari jemaah surau untuk memimpin sebagai salah seorang imam adalah amanah yang perlu digalas sebaiknya.
Penglibatan dalam persatuan pula memberi ruang baru dalam usaha memperbaiki diri, kopetensi agama dan tadbir urus yang menyumbang kepada pengukuhan institusi-institusi agama di Johor. Disamping itu, peralihan baharu terhadap inisiatif digital juga muncul pada masa yang sesuai. Semuanya bersesuaian pada masanya.
Sememangnya sudah masa untuk saya menjurus kepada sesuatu yang lebih bermakna dalam usia sebegini. Mudah-mudahan usaha mengimarahkan masjid dan surau berserta dakwah dan ukhwah ini beroleh keredaan Illahi.. aamiin.
Baca lagi> Surau Kampung Permata di Pontian, Johor

Laman KhirKhalid.com berkongsi sudut pandangan dan jurnal pengalaman penulis.
> PROFIL PENULIS.



Alhamdulillah, tahniah tuan. Semoga semuanya terus berjalan lancar dgn rahmat Illahi.. aamiin
Penglibatan yg sesuai dgn waktunya. Usia dan pengalaman yg ada jngn dipersiakan. Syukurlah diberi landasan yg baik spt ini. Alhamdulillah, tahniah
Alhamdulillah, seronok baca perkongsian sebegini. Allah beri jalan mudah kpd tuan utk mendekatkan diri kpdNya. Apa jua cabaran cabaran atas jln ini adalah ibadah.. bukan sekadar pengalaman, tapi bekalan. Semoga terus berkhidmat atas jlnNya.. aamiin