Assalamualaikum. Penstriman langsung atau live streaming kini sudah menjadi trend pemasaran marketplace yang semakin berkembang pesat!
Bagi rakan usahawan, peneraju industri dan pemain digital sehinggalah peniaga online, strategi dan kreativiti sememangnya menjadi tunggak dalam memperkasa dominasi pasaran. Ia sentiasa ditambahbaik dan dipraktikkan atas platform yang betul. Sudah tentu, ia juga diperlukan bagi meluaskan lagi potensi dan prospek perniagaan.
Kemeriahan social updates marketplace antaranya seperti Shopee, menyaksikan perang pemasaran live streaming yang sengit dikalangan pengusaha dan peniaga online yang semakin bertambah. Malah penyertaan yang menggalakkan dari kalangan warga digital dan pelanggan online dalam mengimarahkan pelbagai aktiviti online ini juga menjelaskan kredibiliti marketplace dari perspektif masyarakat kini.
Begitulah yang dapat saya simpulkan berdasarkan penglibatan dalam arena ini. Antaranya adalah trend penstriman langsung yang semakin mendapat perhatian dan sambutan di ruang marketplace. Kini, platform e-dagang marketplace adalah medan pasaran yang terus berkembang dengan kadar yang pantas.
Kelebihan Penstriman Langsung Marketplace
Pada artikel ini, saya terpanggil mengupas kelebihan penstriman langsung dalam hubungan komunikasi di marketplace ini. Sekiranya anda antara online seller yang menjadikan platform marketplace sebagai medan pemasaran, setidaknya input ini menjelaskan mengapa ia semakin releven.
Walaupun kaedah penstriman langsung bukanlah sesuatu yang baharu, ia ternyata semakin digemari ramai pelanggan online. Namun, apakah yang menarik semakin ramai prospek online untuk terlibat dalam mengimarahkan kempen penstriman langsung di marketplace ini?
Berikut ada beberapa faktor yang boleh diperbincangkan.
1. Demonstrasi Produk
Sejak saya mula terlibat dalam fokus pengurusan platform digital kepada beberapa pelanggan perniagaan serta kerjasama rakan industri, kelebihan dalam berkongsi demonstrasi terbuka sentiasa menjadi topik perbincangan utama.
Antara faktor yang menarik ramai penyertaan dan membuka potensi pasaran yang lebih luas adalah disebabkan peluang kepada prospek untuk menonton segala penerangan, pengenalan dan demo produk yang dilakukan oleh peniaga online semasa kempen penstriman langsung diadakan. Melalui input dan demo yang bersesuaian dengan potensi sesebuah produk, ia dapat memberi gambaran yang lebih baik tentang keberadaan produk tersebut untuk penilaian audiens.
Kaedah demo ini juga menjadi trend yang semakin diterima ramai.
Walaupun audiens tidak dapat menyentuh produk yang diperkenalkan, melalui penerangan berserta demo produk yang menarik sudah memadai untuk menjelaskan kepada audiens tentang kegunaannya secara menyeluruh dan membantu merangsang motivasi audiens untuk berlanggan.
Demonstrasi yang informatif telah terbukti menjana pembelian yang efektif.
2. Komunikasi Terbuka Dan Telus
Demonstrasi secara terbuka atau terang-terangan juga memberi ruang kepada audiens untuk berkomunikasi secara terus dengan wakil perniagaan atau online seller. Ia seumpama budaya pembelian fizikal, dimana bakal pelanggan boleh bertanya secara terus kepada penjual dalam suasana pasaran yang sibuk dan meriah.
Menjawab persoalan yang diajukan oleh audiens dapat membantu membina keyakinan kepada bakal pelanggan dan juga kepada audiens yang lain. Setiap aktiviti demo, penerangan dan penjelasan kepada jawapan yang diberikan juga secara tidak langsung mampu merangsang motivasi untuk membeli disamping meningkatkan kredibiliti sesebuah perniagaan itu sendiri.
Memulakan penstriman langsung sememangnya memerlukan persediaan yang rapi. Antaranya adalah pengetahuan fakta dan praktikal tentang produk yang diperkenalkan. Persembahan oleh wakil syarikat atau online seller juga memerlukan personaliti yang mesra dan ramah serta bijak menangani segala macam persoalan dan situasi sepanjang penstriman berlangsung.
Adakala, gaya personaliti dan komunikasi oleh streamer itu sendiri sudah mampu mencipta aura yang menarik pelanggan. Penerampilan dan cara berkomunikasi juga antara pakej yang penting bagi online seller untuk penstriman langsung ini.
3. Tawaran Harga Promosi, Voucher Dan Hadiah Percuma
Penstriman langsung marketplace ini juga membuka peluang kepada prospek pelanggan untuk membeli produk yang diperkenalkan dengan tawaran harga yang lebih murah dari kebiasaan. Adakalanya harga yang ditawarkan jauh lebih murah. Tidak kurang juga yang disertakan dengan free gift, voucher dan sebagainya.
Kuantiti jualan semasa kempen penstriman langsung menjadi percaturan bagi kebanyakkan seller. Namun, ia tidak semestinya menjejaskan kualiti produk tersebut untuk pelanggan. Tujuan utama bagi kebanyakkan seller ini adalah untuk merangsang banyak pembelian disamping menjana data base pelanggan dan meningkatkan kredibiliti kedai online untuk potensi jangka panjang pasaran.
Kaedah ini juga boleh diumpamakan seperti optimasi enjin carian bagi laman web. Bezanya, dengan merangsang lebih banyak pembelian melalui promosi harga dan penawaran voucher atau free gift dapat meningkatkan rekod pembelian produk di kedai online dan merangsang optimasi algoritma carian marketplace.
4. Call To Action (CTA) Yang Berkesan
Call To Action atau CTA mempunyai peranan yang sangat penting dalam meningkatkan jualan mahu pun conversion rates. Ia adalah strategi untuk mendapatkan respon terus dari audiens untuk “beli”, “order” atau “langgan”, dimana anda memberitahu kepada audiens atau bakal pelanggan tentang apa yang mereka perlu lakukan untuk membeli produk yang diperkenalkan.
CTA juga melibatkan ‘sense of urgency’ kepada audiens bahawa peluang yang anda tawarkan hanya pada masa terhad. Dengan ayat-ayat CTA yang ringkas dan padat mengikut kesesuaian semasa sesi penstriman langsung diadakan menjadikan audiens lebih tertarik dan termotivasi untuk berlanggan terus. Ditambah lagi dengan kemudahan transaksi dan logistik marketplace yang tersedia, CTA melalui penstriman langsung memudahkan audiens bertindak merebut peluang yang ditawarkan.
Maka tidak hairanlah, kaedah ini turut menyaksikan ada dikalangan pengusaha dan organisasi yang mampu menjana online cash sales mencecah ribuan ringgit dalam tempoh yang singkat melalui aktiviti live streaming ini.
5. Keselamatan Transaksi Dan Logistik
Kemudahan melalui jaminan transaksi yang lebih selamat dan efisyen turut menyumbang kepada pertambahan orang ramai dalam penglibatan marketplace.
Halaman edagang gergasi seperti Shopee dan TikTok Shop mendominasi pasaran marketplace di Malaysia atas kelebihan dalam menawarkan jaminan transaksi dan logistik yang mudah dan selamat di antara seller dan pelanggan. Ia menjadi faktor yang menyokong dalam memudahkan lagi aktiviti penstriman langsung dalam mencapai sasaran dengan lebih efektif.
Berdasarkan demo produk dan komunikasi yang efektif, ditambah lagi dengan penawaran harga promosi, penawaran vaucher atau free gift, pelanggan hanya perlu membuat pesanan secara terus dan menunggu ia sampai ke pintu rumah.
Ia kini sudah menjadi norma biasa.. perkara mudah yang pelanggan boleh lakukan setiap hari berdasarkan bajet, kehendak dan selera pilihan masing-masing.
Potensi Pasaran Yang Semakin Pesat
Oleh itu, kesemua faktor ini perlulah terlebih dahulu dirancang agar bersesuaian dengan agenda penstriman langsung anda. Sememangnya, pemasaran marketplace antara peralihan trend pasaran yang berpotensi tinggi. Berdasarkan penglibatan industri juga menyaksikan peralihan budaya pasaran ini terus berkembang pesat.
Semakin banyak perniagaan memilih ruangan marketplace untuk mencapai prospek pasaran. Kini ia bukan sahaja tertumpu kepada pasaran pengguna, tetapi turut merangkumi pelanggan industri yang menjadikan marketplace sebagai alternatif bagi mendapatkan sumber bekalan bahan mentah bagi memenuhi keperluan perusahaan.
Justeru, atas sambutan luar biasa pelanggan di marketplace bersama impak jualan yang menggalakkan telah menarik lebih ramai pengusaha mempraktikkan kaedah penstriman langsung sebagai strategi kreatif dan berkesan.
Featured Photo by Gordon Cowie on Unsplash
Baca lagi: Kenali Potensi eDagang, Online Shop dan Marketplace.
Subscribe newsletter untuk artikel terkini:
Berkongsi perspektif industri digital disamping editorial dan dakwah. > PROFILE
perkongsian bermanfaat la ni ramai gunakannya
Live streaming yg aktif dan efektif setakat ni mmg di shopee. Tambahan rujukan yg bagus utk dihadam. Thanks sharing 🙂