Fokus industri – Tahun 2022 ini sememangnya mempengaruhi tempo gerak kerja yang jauh berbeza kepada saya berbanding tahun-tahun sebelumnya. Antaranya adalah disebabkan kesan krisis pandemik sejak ia melanda negara dan dunia sehinggalah kini yang masih tidak menunjukkan kadar penurunan yang melegakan.
Namun apa yang lebih memberi kesan adalah perubahan dan peralihan trend pasaran yang berlaku disebabkan krisis pandemik dan juga pengembangan gaya hidup digital yang semakin meluas. Kini, majoriti perniagaan dipaksa menerima landasan digital sebagai medium untuk terus berdaya maju. Pelbagai inisiatif diketengahkan dalam menggalakkan usaha tersebut berkembang pesat.
Pemasaran digital bukan lagi perkara sampingan, tetapi menjadi dasar yang diperlukan untuk difahami serta dilaksanakan sebaiknya oleh sektor perniagaan. Era Internet Of Things (IoT) atau era Internet Kebendaan menjadikan internet sebagai landasan kehidupan sejagat.
Fokus Industri Dan Pasaran Digital
Bagi pemasar dan rakan industri yang bekerja di belakang tabir dalam pengukuhan pasaran pelanggan perniagaan, inilah masa untuk memperkukuh kredibiliti, kepakaran dan komitmen. Setiap jaringan kerjasama perlu dilaksanakan sebaiknya.
Atas faktor tersebut jugalah saya melihat ramai dikalangan rakan industri yang terlibat dalam pasaran B2B mula mengambil pendekatan yang berbeza pada tahun ini. Media sosial peribadi terutamanya bukan lagi landasan pilihan untuk membina kredibiliti bisnes, tetapi sekadar ruang menjaga perhubungan.
Landasan rasmi ditambahbaik agar pelanggan lebih yakin terhadap komitmen dan penglibatan. Malah, fokus kepada pelanggan industri yang telah sekian lama memberi kepercayaan menjadi lebih penting berbanding mencari prospek baharu semata-mata.
Tahun ini, kebanyakkannya lebih cenderung untuk menjaga dan memperkukuhkan lagi hubungan sedia ada dengan jalinan kerjasama yang lebih memberi impak dan manfaat bersama. Baik dari aspek hubungan kerjasama industri (B2B), begitu juga dengan (B2C) dalam memanfaatkan data pelanggan dan memberikan nilai yang lebih baik dalam menghargai pelanggan setia (loyal customer) dan pengguna.
Justeru, bagi anda yang menjalankan perniagaan sedia ada, tahun ini bermula fokus pasaran dalam menjaga pelanggan dan memberikan sesuatu yang bernilai agar mereka terus kekal terhadap kesetiaan jenama (brand loyalty) dan hubungan manusiawi.
Ia secara tidak langsung juga amat membantu dalam meningkatkan lagi kredibiliti perniagaan dan penjenamaan yang lebih utuh dalam mendepani cabaran era IoT ini.
Photo by Julius Silver from Pexels
Baca lagi: Memanusiawi Digital Dalam Pemasaran 2022

Khir Khalid merupakan digital marketer yang terlibat dalam pemasaran kandungan dibawah entiti perunding pemasaran bersekutu Khir Khalid Resources. Beliau juga ahli badan profesional Institut of Marketing Malaysia > PROFILE