Zakat adalah tuntutan wajib ke atas umat Islam yang terkandung dalam Rukun Islam. Ia merupakan tunjang pembelaan ummah dalam membentuk sosio-ekonomi masyarakat yang sejahtera. Atas aspirasi tersebut, saya terpanggil berkongsi peringatan yang diketengahkan oleh Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) tentang isu membayar zakat kepada amil yang tidak bertauliah.
Isu Amil Yang Tidak Bertauliah (PPZ – MAIWP)
Amil merupakan individu yang terlibat dalam kutipan wang zakat, dikumpul dan diserahkan kepada pihak pengurusan zakat dibawah bidangkuasa Majlis Agama Islam negeri-negeri. Namun wujudnya individu tertentu mengambil kesempatan menyamar sebagai pengutip zakat yang kononnya mewakili pihak institusi zakat. Kita harus mengambil berat tentang isu ini agar tidak menjadi mangsa penipuan yang pasti merugikan kita dan masyarakat Islam sendiri.
MAIWP dengan persetujuan Yang Di Pertuan Agong, memberi kuasa dan melantik PPZ-MAIWP sebagai amil untuk mengutip zakat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah kaedah 10 Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-undang Islam (Fitrah dan Zakat) 1952 sebagaimana diubahsuai oleh Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak) 1974. Manakala bagi agihan zakat, ia diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melalui Bahagian Baitulmal.
Oleh itu, PPZ-MAIWP selaku badan yang bertanggungjawab ke atas kutipan di Wilayah Persekutuan turut menegaskan pihaknya kini telah menghantar notis makluman larangan mengutip zakat tanpa tauliah di semua lokasi merangkumi sektor swasta dan kerajaan di sekitar Wilayah persekutuan termasuk Putrajaya bagi membendung gejala ini di dikalangan masyarakat.
Kesalahan Jenayah Syariah Kepada Amil Yang Tidak Bertauliah
Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559), sesiapa yang TIDAK dilantik oleh pihak MAIWP tidak boleh mengutip zakat di Wilayah Persekutuan dan jika melakukannya adalah SALAH di bawah SEKSYEN 33 AKTA 559 yang jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, pembayar yang membayar zakat mereka kepada individu yang tidak dilantik MAIWP pula boleh didakwa dibawah SEKSYEN 34 AKTA 559 yang jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah sebuah pertubuhan perbadanan yang ditubuhkan di bawah subseksyen 4 (1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) yang diberi kuasa untuk mengutip dan mengumpulkan zakat dari orang-orang Islam atau kumpulan orang-orang Islam atau syarikat-syarikat Islam YANG WAJIB MEMBAYAR ZAKAT KEPADA 8 ASNAF YANG WAJIB DI Wilayah Persekutuan.
Bersama Kita Membenteras Amil Yang Tidak Bertauliah
Adalah menjadi harapan PPZ-MAIWP semoga dengan maklumat ini dapat membantu masyarakat membuat pilihan yang tepat dalam melunaskan tanggungjawab kepada Allah s.w.t. dan membenteras kegiatan amil yang tidak bertauliah. PPZ-MAIWP selaku badan yang diberi amanah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyeru kepada masyarakat untuk menunaikan zakat.
Sebaiknya lakukan kiraan terlebih dahulu sebelum menunaikan zakat. Sekurangnya kita tahu kedudukan kita yang mungkin tidak dikenakan zakat atau juga seorang penerima zakat. Melalui zakat inilah yang memberi kelangsungan hidup kepada asnaf-asnaf yang kini sedang bergantung harap kepada baitulmal untuk menampung kehidupan seharian. Tunaikanlah zakat di institusi yang dilantik agar duit zakat tersebut dapat memberi manfaat kepada golongan asnaf, in shaa Allah.
Justeru, sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan berkaitan zakat boleh layari di portal dan facebook PPZ-MAIWP yang saya sertakan dibawah atau hubungi Talian Zakat di 1 300 88 5757.
Seorang penulis kandungan digital. Mantan perunding pemasaran dan ahli badan profesional Institute Of Marketing Malaysia. Laman ini adalah ruangan saya berkongsi perspektif pemasaran dan industri digital disamping editorial dan dakwah. > PROFILE
4 Thoughts to “Peringatan Membayar Zakat Kepada Amil Tidak Bertauliah”
kena pegi ke pusat zakat yg bertauliah je kan
Ya Ainim.. Itu yg sebaiknya utk kita sama2 membantu asnaf dan menunaikan tanggungjawab kita.
Thanks for the info Khir. Seharusnya kita bayar zakat pada amil yg bertauliah.
Betul tu.. skrng risau juga penipuan amil tak bertauliah ni. Bab duit ni ada yg sanggup menipu walaupun berkaitan agama.