Setiap usahawan sudah pasti memahami kepentingan pemasaran bagi memperkukuh dan melonjakkan lagi potensi perniagaan. Namun krisis pandemik yang kita lalui ini telah menyaksikan perubahan norma gaya hidup dan memberi implikasi yang besar terhadap ekonomi serta budaya pasaran di seluruh dunia.
Cabaran mendepani krisis pandemik ini telah memaksa komuniti perniagaan dari segenap sektor industri untuk menilai kembali keberkesanan strategi yang telah dirancang. Ia pastinya bukan satu perkara mudah kerana dugaan wabak ini memerlukan tindakan dan strategi yang berbeza daripada kebiasaan.
Antara pendekatan paling strategik adalah dengan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan jaringan digital sebagai landasan paling efektif dan selamat. Begitu juga dalam memperkukuh potensi pasaran melalui idea, kemahiran serta kreativiti dalam talian yang mampu mencapai prospek pelanggan yang tepat.
Memanfaatkan Pengkalan Data Untuk Pemasaran
Krisis pandemik ini juga telah merangsang peralihan pasaran dalam kadar yang drastik. Peningkatan ini turut menyedarkan usahawan tentang persaingan serta potensi dunia dalam talian. Atas faktor tersebut, beberapa elemen ini perlu diberi perhatian dalam membina dan mengurus pengkalan data secara lebih efektif.
Membina Pengkalan Data Pelanggan
Pada artikel terdahulu ada menjelaskan kepentingan Memanfaatkan Pengkalan Data Pelanggan bagi memperkukuh prospek pasaran. Ia merupakan sistem simpanan data berkaitan maklumat pelanggan bagi melaksanakan strategi pemasaran yang lebih kos efektif dan berkesan.
Antara asas maklumat yang diperlukan dalam membina pengkalan data pelanggan adalah Nama, Alamat, Nombor Telefon dan Emel. 4 asas ini, dapat membantu memberikan gambaran asas pelanggan. Ia juga menjadi elemen perhubungan dan komunikasi dalam mengurus promosi dan pemasaran.
Terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat pelanggan. Antara kaedah popular adalah menawarkan diskaun bermusim, peraduan atau cabutan bertuah. Pelanggan perlu mengisi borang pendaftaran dengan maklumat diperlukan sebagai syarat kelayakan. Asas data juga dapat diperincikan merangkumi jantina, pekerjaan, hobi serta pelbagai lagi bagi mendapatkan gambaran lebih baik tentang gaya hidup serta perkara yang mempengaruhi minat pelanggan.
Setiap maklumat pelanggan yang diperolehi boleh dimanfaatkan untuk perkongsian info seperti promosi terkini, product knowledge serta aktiviti syarikat sebagai reminder melalui platform seperti ’email newsletter’ bagi membantu merapatkan lagi hubungan dan menjana pelanggan setia.
Analitik Website Dan Media Sosial
Kelebihan laman web dan e-dagang juga turut menyediakan data analitik pengunjung bagi memudahkan pengusaha mengenalpasti trend pasaran melalui. Ia merangkumi maklumat asas pengunjung laman web, e-dagang dan artikel blog yang boleh diperolehi secara percuma hinggalah data yang lebih terperinci melalui plugin berbayar.
Pembangunan laman web CMS WordPress merupakan pilihan laman web tertinggi bagi komuniti perniagaan seluruh dunia. Ia merupakan ‘open source project’ yang menyediakan pelbagai keperluan digital, keselamatan dan plugin yang selaras dengan teknologi digital terkini. Ini termasuk beberapa pilihan plugin data analitik yang memberikan maklumat pengunjung yang lebih tepat.
Selain itu, saluran media sosial juga menjadi pilihan untuk capaian promosi dan pemasaran dalam talian kepada prospek pasaran. Kelebihan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan LinkedIn mempunyai kekuatan pengkalan data yang boleh dimanfaatkan dalam menjana pelanggan dan prospek berpotensi.
Melalui perkhidmatan periklanan media sosial seperti ‘Facebook Ads’ dan seumpamanya, para peniaga juga dapat memanfaatkan kos yang dibayar bukan sekadar menjana pelanggan, tetapi menjadikan setiap urusan komunikasi dan transaksi yang berlaku sebagai penambahan data baharu dalam meluaskan lagi perhubungan jangka panjang pelanggan.
Ia antara kaedah yang berkesan dan banyak dimanfaatkan oleh usahawan dan organisasi dalam membina pengkalan data pelanggan melalui promosi yang disasarkan kepada prospek pengguna media sosial.
Buku Log MySejahtera
Ini merupakan antara kaedah baharu yang turut dimanfaatkan terutama oleh sektor peruncitan sehinggalah peniaga mikro. Selain menyediakan kod imbasan MySejahtera, maklumat yang ditulis oleh sebahagian pelanggan melalui buku log masuk juga menjadi antara sumber dalam membina data pelanggan.
Antara kaedah yang digunakan adalah dengan memanfaatkan platform komunikasi seperti Whatssap dan Telegram dalam menyebarkan risalah promosi terkini sebagai salah satu inisiatif pemasaran bersasar oleh pengusaha premis kepada pelanggan dan prospek yang pernah berkunjung ke premis.
Selain itu, terdapat juga peniaga yang menawarkan kepada pelanggan mereka untuk menjadi sebahagian komuniti di Telegram agar dapat mengikuti segala info dan promosi terkini dari masa ke semasa, disamping membina komunikasi yang lebih efekftif dalam memperkukuh perhubungan pelanggan setia.
Cabaran Dan Peluang Dalam Krisis Pandemik
Justeru itu, krisis pandemik ini sememangnnya memberikan kesan yang besar terhadap operasi perniagaan sehingga memaksa kebanyakkan pihak mencipta solusi melalui kebijaksanaan dan kreativiti untuk terus bertahan dan berdaya saing.
Atas aspirasi tersebut, kita merujuk kembali kepada kenyataan peneraju industri tentang maksud “promotion is king”. Ini menjelaskan, dalam apa jua cabaran dan situasi, setiap perniagaan perlu sentiasa mengurus promosi dan pemasaran untuk terus memperkukuh potensi produk dan perkhidmatan, kredibiliti penjenamaan serta perniagaan.
Memastikan tahap kepuasan pelanggan disamping membina perhubungan efektif melalui kaedah yang bersesuaian dengan aspirasi perniagaan juga menjadi antara elemen penting mendepani cabaran krisis pandemik ini. Selain itu, memanfaatkan landasan digital secara kos efektif juga perlu sentiasa ditambahbaik agar dapat terus berdaya saing dan berkembang maju.
Baca lagi: Membina Potensi Pasaran Melalui Media Sosial
Subscribe Newsletter untuk artikel-artikel terkini:
Seorang penulis kandungan digital. Mantan perunding pemasaran dan ahli badan profesional Institute Of Marketing Malaysia. Laman ini adalah ruangan saya berkongsi perspektif pemasaran dan industri digital disamping editorial dan dakwah. > PROFILE