Kelebihan Augmented Reality Dalam Pemasaran Digital – Kemajuan teknologi dan pengembangan dunia digital telah banyak membawa perubahan kepada cara kerja dan kehidupan kita hari ini. Ia sememangnya amat membantu dalam mempermudahkan pelbagai urusan sehingga mempengaruhi kehendak pengguna dan trend pasaran pada masa kini.
Antara teknologi yang semakin mendapat perhatian dan terus berkembang seiring kemajuan dunia digital adalah kelebihan Augmented Reality atau Realiti Tertambah (AR). Ia mula popular pada penghujung era IT dalam aplikasi AR games, namun pada era Internet Kebendaan (IoT) kini, ia semakin menjadi salah satu keperluan industri bagi memenuhi tuntutan pasaran.
Pada artikel kali ini saya terpanggil berkongsi perspektif tentang kelebihan Augmented Reality yang boleh dimanfaatkan dalam memperkukuh elemen strategi pemasaran perniagaan anda.
Kelebihan Augmented Reality
Augmented Reality merupakan kaedah yang digunakan dalam menggabungkan visual berbentuk realiti dengan imaginasi maya melalui paparan skrin komputer dan peranti. Hasilnya, pengguna yang memandang dunia sebenar melalui skrin peranti boleh mengurus model cadangan berpandukan realiti sedia ada.
Berbeza dengan Virtual Reality (VR) yang mencipta pembangunan dunia maya berdasarkan imaginasi tanpa memerlukan hubung kait realiti, AR mampu memaparkan persekitaran yang diambil dari keberadaan dunia sebenar. Persekitaran tersebut kemudiannya boleh diolah dengan memuatkan pelbagai objek, ruang dan pembangunan lain yang diperlukan oleh pengguna dengann penjanaan sisten kecerdasan buatan (A.I.) melalui pelbagai aplikasi komputer dan peranti.
Sebenarnya, konsep AR ini pada mulanya telahpun diperkenalkan oleh Thomas Caudell seawal tahun 1990an sebagai alat bantuan kepada juruteknik eletrik dalam memperlihatkan gambaran realiti sesebuah projek yang telah siap sebelum ia mula dilaksanakan. Namun penggunaaknya ketika itu masih terbatas dan memerlukan pengaturan yang sempurna. Sehinggalah kemunculan digital, ia mula berkembang dan menjadi salah satu keperluan teknologi yang semakin berkembang pantas.
Kini, perkembangan teknologi AR telah banyak mengubah cara perniagaan, produk dan perkhidmatan dipasarkan. Pada tahun 2021 ini, pembangunan industri AR dan juga VR dijangka bakal menjangkau melebihi USD 193 billion. Ia semakin mendapat permintaan dalam memenuhi keperluan pelbagai industri serta trend gaya hidup sehingga mempengaruhi kepentingan pemasaran.

Kepentingan AR Dalam Sektor Industri
Bagi sektor perniagaan yang terlibat dalam hubungan pelanggan industri (B2B), kelebihan AR kini sememangnya diperlukan dalam pelbagai usahasama projek yang lebih kos efektif dan produktif.
Antara contoh adalah dalam sektor pembangunan di mana pihak pemaju, jurutera, arkitek dan kontraktor dapat membina kesepakatan dalam memahami gambaran sebenar sesebuah projek yang bakal dilaksanakan dengan terperinci sebelum projek sebenar itu dimulakan. Begitu juga dalam sektor pembuatan, perkilangan dan perkhidmatan yang dapat membangunkan visual realiti untuk kepentingan perniagaan secara kos efektif dan strategik.
Perniagaan yang terlibat dalam pasaran pengguna (B2C) juga tidak terkecuali. Kini semakin banyak premis dan showroom dalam talian yang menyediakan kemudahan AR kepada pelanggan bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang keberadaan produk mengikut kesesuaian persekitaran pelanggan.
Antara yang mempelopori kaedah ini adalah syarikat jenama cat terkemuka dunia yang menawarkan pelanggan mengadun warna cat melalui aplikasi AR mengikut kesesuaian kediaman masing-masing. Begitu juga dengan syarikat jenama perabot terkenal yang turut sama menyediakan kemudahan tersebut bagi memuatkan perabot dan kelengkapan rumah mengikut kesesuaian ukuran ruang kediaman pelanggan sebelum ianya dibeli.
Kepentingan AR juga turut dimanfaatkan dalam memperkukuh hubungan pelanggan dan prospek pasaran melalui penganjuran pelbagai acara dalam talian dan peraduan interaktif melalui peranti mudah alih dengan ganjaran diskaun atau hadiah kepada peserta. Ia berkesan dalam membina awareness dan engagement melalui penglibatan interaktif dalam talian bagi menyerlahkan lagi kredibiliti produk, penjenamaan dan goodwill perniagaan dengan efektif dan mesra pelanggan.
Justeru itu, setiap perniagaan kini perlu memahami kelebihan AR sebagai salah satu kepentingan dalam memperkukuh strategi pemasaran untuk terus berdaya maju. Ia satu kaedah yang unik untuk ditawarkan kepada prospek dan pelanggan. Memanfaatkan pengetahuan AR merupakan antara elemen berpotensi dalam arus kemajuan era digital kini dan masa hadapan.
Baca lagi: Peralihan Trend Pasaran Era Internet Kebendaan (IoT)

A non stereotypical digitalpreneur in e-commerce and media relations industry, a content writer, a video creator and a motovlogger. > PROFILE
Apa sahaja solusi yang ada, manfaatkan sebaik-baiknya.
kaedah kelancaran bisnis terkini perlu diadaptasi penggiatnya