Assalamualaikum. Percambahan teknologi AR atau Augmented Reality merupakan antara salah satu elemen penting dalam persaingan industri digital hari ini.
Seperti yang kita tahu, kemajuan teknologi digital telah banyak membawa perubahan kepada cara kerja dan gaya hidup hari ini. Ia sememangnya memudahkan pelbagai urusan sehingga mempengaruhi kepentingan trend pasaran secara meluas.
Antara teknologi yang semakin mendapat perhatian dan terus berkembang seiring kemajuan dunia digital adalah kelebihan Augmented Reality atau Realiti Tertambah (AR). Ia sebenarnya sudah mula popular sekitar 2010 dalam aplikasi AR games, namun ia kini semakin menjadi salah satu keperluan industri dan pemasaran.
Pada artikel kali ini saya terpanggil berkongsi perspektif tentang kelebihan Augmented Reality yang boleh dimanfaatkan dalam memperkukuh elemen pemasaran.
Apa Itu Augmented Reality
Augmented Reality merupakan kaedah yang digunakan dalam menggabungkan visual berbentuk realiti dengan imaginasi maya melalui paparan skrin komputer dan peranti.
Hasilnya, pengguna yang memandang dunia sebenar melalui skrin peranti boleh mengurus dan mencipta model cadangan sesebuah projek berpandukan realiti persekitaran sedia ada yang sebenar.
Ini bermaksud, seseorang individu atau organisasi dapat melihat paparan perancangan sesebuah projek yang telah siap walaupun ia sebenarnya belum lagi dimulakan.
Ok.. mari kita kupas dengan lebih lanjut.
Augmented Reality (AR) tidak sama dengan Virtual Reality (VR).
VR mencipta pembangunan dunia maya berdasarkan imaginasi tanpa memerlukan hubung kait dengan realiti keadaan atau lokasi sebenar. Tetapi AR mampu memaparkan persekitaran yang diambil dari keberadaan sebenar, kemudiannya boleh diolah dengan mengatur, menyusun, mereka atau membina pelbagai objek, ruang dan pembangunan lain yang dimahukan dengan penjanaan sistem kecerdasan buatan (A.I.) melalui aplikasi komputer dan peranti.
Sebagai contoh; anda boleh mengambil gambar ruang tamu rumah anda yang ingin direnovasi dan kemudiannya, anda boleh olah untuk penambahan ruang, perabot atau pelbagai lagi melalui aplikasi komputer, sehingga ia menjadi sebuah gambaran realiti cadangan ruang tamu impian yang sudah siap direnovasi.
Sebenarnya, konsep AR ini pada mulanya telahpun diperkenalkan oleh Thomas Caudell seawal tahun 1990an sebagai alat bantuan kepada juruteknik eletrik. Ia membantu memperlihatkan kepada juruteknik eletrik tentang gambaran realiti sesebuah projek yang telah siap sebelum ia mula dilaksanakan. Namun penggunaannya ketika itu masih terbatas dan memerlukan pengaturan yang sempurna. Sehinggalah kemunculan digital, ia mula berkembang dan menjadi salah satu keperluan teknologi yang semakin berkembang pantas untuk pelbagai bidang dan sektor industri.
Kini, perkembangan teknologi AR telah banyak mengubah cara perniagaan, produk dan perkhidmatan dipasarkan. Pada tahun 2021, pembangunan industri AR dan juga VR telah menjangkau perbelanjaan melebihi USD 193 billion.
Ia semakin mendapat permintaan dalam memenuhi keperluan pelbagai industri serta trend gaya hidup sehingga mempengaruhi kepentingan pemasaran.

Kepentingan AR Dalam Sektor Industri
Bagi sektor perniagaan yang terlibat dalam hubungan pelanggan industri (B2B), kelebihan AR kini sememangnya diperlukan dalam menjayakan pelbagai usahasama projek dengan lebih kos efektif dan produktif.
Antara contoh adalah dalam sektor pembangunan di mana pihak pemaju, jurutera, arkitek dan kontraktor dapat membina kesepakatan dalam memahami gambaran sebenar sesebuah projek yang bakal dilaksanakan dengan terperinci sebelum projek sebenar itu dimulakan. Begitu juga dalam sektor pembuatan, perkilangan dan perkhidmatan yang dapat membangunkan visual realiti untuk kepentingan perniagaan secara kos efektif dan strategik.
Perniagaan yang terlibat dalam pasaran pengguna (B2C) juga tidak terkecuali. Kini semakin banyak premis dan showroom dalam talian yang menyediakan kemudahan AR kepada pelanggan bagi mendapatkan gambaran sebenar tentang apa yang diinginkan mengikut kesesuaian citarasa pelanggan.
Antara yang mempelopori kaedah ini adalah syarikat jenama cat terkemuka dunia yang menawarkan pelanggan pilihan adunan warna cat melalui aplikasi AR mengikut citarasa dan kesesuaian kediaman masing-masing. Begitu juga dengan syarikat jenama perabot terkenal yang turut sama menyediakan kemudahan tersebut bagi memuatkan perabot dan kelengkapan rumah mengikut kesesuaian ukuran ruang kediaman pelanggan sebelum ianya dibeli.
Kepentingan AR juga turut dimanfaatkan dalam memperkukuh hubungan pelanggan dan prospek pasaran melalui penganjuran pelbagai acara dalam talian dan peraduan interaktif melalui peranti mudah alih dengan menawarkan ganjaran diskaun atau hadiah kepada peserta. Ia berkesan dalam membina awareness dan engagement melalui penglibatan interaktif dalam talian bagi menyerlahkan lagi kredibiliti produk, penjenamaan dan goodwill perniagaan dengan efektif dan mesra pelanggan.
Justeru itu, setiap perniagaan kini perlu memahami kelebihan AR sebagai salah satu kepentingan dalam memperkukuh strategi pemasaran untuk terus berdaya maju.
Ia satu kemudahan transformasi digital yang unik untuk ditawarkan kepada prospek dan pelanggan. Memanfaatkan pengetahuan AR merupakan antara elemen berpotensi dalam arus kemajuan era digital kini dan masa hadapan.
Baca lagi: Peralihan Trend Pasaran Era Internet Kebendaan (IoT)
Subscribe Newsletter untuk info artikel terkini.

Seorang Digitalpreneur dan Content Writer. Berkongsi perspektif industri digital disamping jurnal peribadi, editorial dan dakwah. > PROFILE
Apa sahaja solusi yang ada, manfaatkan sebaik-baiknya.
kaedah kelancaran bisnis terkini perlu diadaptasi penggiatnya