1 Syawal 2025, Majlis Rumah Terbuka Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Pontian Johor

Assalamualaikum. Selamat Hari Raya Aidilfitri 2025!

Kelapangan masa menulis, saya terpanggil berkongsi jurnal 1 Syawal 2025 pada catatan artikel kali ini. Alhamdulillah, setelah sebulan menunaikan ibadah berpuasa di bulan Ramadan, ketibaan 1 Syawal diraikan dengan berbagai program dan acara.

Begitu juga dengan kami sekeluarga. Hari Raya tahun ini juga disambut meriah bersama saudara, rakan dan jiran tetangga serta komuniti setempat.

Jurnal 1 Syawal 2025

Pengalaman menyambut Syawal tahun ini sedikit berbeza.

Ia merupakan tahun kedua kami meraikannya di Pontian, Johor berbanding di Selangor pada tahun-tahun sebelumnya. 1 Syawal kali ini, hanya anak sulung kami tidak dapat bersama disebabkan kerja. Hanya video call menjadi perantara meraikan Hari Raya.

Bagi komuniti setempat, kemeriahan raya bermula dengan takbir raya selepas solat Isyak bersama-sama rakan jemaah Surau Kampung Permata. Seterusnya malam raya diimarahkan lagi dengan program Ziarah Takbir dengan berkunjung, bertakbir beserta doa selamat dari rumah ke rumah sehingga jam 2.30 pagi.

Ziarah Takbir juga antara program yang disepakati bersama ahli jemaah surau. Saya telah diberi kepercayaan untuk mengatur penyertaan dan kunjungan rumah.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Terima kasih atas kepercayaan semua.

Aidilfitri 2025, Taman Zalinah Pontian Johor

Bagi saya, segalanya telah bermula seawal Ramadan lagi.

Tahun ini, saya turut diberi kepercayaan untuk memimpin solat terawih. Alhamdulillah, berkat secebis pengalaman lalu, kelayakan sekolah agama serta input kursus-kursus Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian dapat dimanfaatkan dalam melaksanakan amanah tersebut sepanjang Ramadan.

Begitu juga dengan program Tadarus Al-Quran. Ia bermula pada malam pertama selepas solat terawih dan dapat dikhatamkan sebelum berakhir Ramadan.

Selain itu, pada pagi 1 Syawal tahun ini juga kami sekeluarga turut diundang ke majlis rumah terbuka di kediaman rasmi Pegawai Daerah Pontian. Terima kasih kepada Tuan Haji Kamarudin Abdullah selaku Pegawai Daerah Pontian dan isteri atas undangan.

Disamping menjamu selera dengan pelbagai hidangan Hari Raya, kesempatan di majlis rumah terbuka ini menjadi tempat bertemu rakan komuniti dan kenalan.

Malah, saya terpanggil mengabadikan kenangan bergambar bersama seorang pesara guru yang dihormati, jiran dan rakan arwah ayah. Beliau turut hadir ke majlis tersebut. Cikgu Hj Ismail kini sudah pun mencecah usia lebih 80 tahun dan masih sihat.

Jurnal 1 Syawal, Kediaman rasmi Pegawai Daerah Pontian Johor

Selamat Hari Raya Aidilfitri 2025

Alhamdulillah, selesai semua amanah dan tanggungjawab bermula 1 Ramadan sehingga 1 Syawal bagi tahun 2025.

Aidillfitri tahun ini memberi banyak pengalaman baharu buat saya dan keluarga. Mudah-mudahan ia dapat menjadi pendorong berterusan dalam menambahbaik amalan serta hubungan Habluminallah dan Habluminannas’, insyaaAllah.

Justeru, pada kesempatan kali ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada semua sahabat pembaca sekelian.

Semoga Allah swt memberkati segala usaha kita semua.. aamiin.

Baca lagi> Al Fatihah Buat Bapa Tercinta.

3 Thoughts to “Jurnal 1 Syawal Hari Raya Aidilfitri 2025”

  1. Azfar Mansur

    Alhamdulillah. Salam Aidilfitri buat tuan sekeluarga. Maaf zahir dan batin.

  2. Abdullah

    Salam Aidilfitri. Maaf zahir dan batin 🙂

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.