Mesyuarat Agung PPMDSNJ Cawangan Pontian Ke-30

Assalamualaikum. Bersyukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat saya abadikan pengalaman Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor (PPMDSNJ) Daerah Pontian kali yang ke-30 pada artikel kali ini.

Mesyuarat Agung Tahunan PPMDSNJ Daerah Pontian kali ke-30 ini telah berlangsung pada hari Sabtu, 18 April 2026 bertempat di Rumah Citra Sri Pinang, Benut, Pontian. Ia dihadiri oleh pegawai masjid dan surau yang terdiri dari kalangan imam, bilal, noja serta pembantu masjid dan surau dari seluruh daerah Pontian, Johor.

Tahun ini adalah mesyuarat agung PPMDSNJ Daerah Pontian kali yang kedua saya sertai. Namun, kali ini merupakan pengalaman pertama saya terlibat sebagai AJK persatuan. Ia turut memberi input baharu sepanjang terlibat dalam kegiatan berkaitan komuniti sebelum ini.

Mesyuarat agung Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor (PPMDSNJ) Daerah Pontian ke-30

Mesyuarat Agung Tahunan PPMDSNJ Pontian

Mesyuarat bermula sekitar jam 9.00 pagi dimulai dengan sesi taklimat tentang perjalanan serta pengisian agenda mesyuarat agung ke-30 ini.

Pelbagai agenda dibincangkan, bermula dengan membentang dan mengesahkan minit mesyuarat tahun lepas berserta laporan aktiviti-aktiviti dan aliran kewangan persatuan sepanjang 2025. Pelbagai usul dan cadangan turut diperbincangkan bersama ahli yang hadir dalam menambahbaik penglibatan persatuan selaras objektif penubuhan.

Intipati mesyuarat turut menegaskan komitmen PPMDSNJ cawangan daerah Pontian dalam usaha memperkasa institusi masjid dan surau melalui pelbagai inisiatif jalinan kerjasama strategik dengan Pejabat Kadi Daerah Pontian. Ini merangkumi pengukukuhan jaringan organisasi, pemerkasaan modal insan pendidikan dan dakwah serta kebajikan ahli.

Disamping itu, mesyuarat ini turut meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri sempena bulan Syawal 1447H dan berakhir pada sekitar 12 tengah hari dalam suasana yang harmoni.

Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian

Memperkasa Institusi Masjid Dan Surau

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana diberi peluang bersama insan-insan yang terlibat dalam usaha memperkasa institusi masjid dan surau di daerah Pontian ini.

Sepanjang lebih 30 tahun bergiat aktif dalam pelbagai inisiatif komuniti sejak di United Kingdom hinggalah di Kuala Lumpur dan Selangor, penglibatan kini mempunyai nilai yang besar. Ini ruang terbaik untuk menyumbang bakti di tempat asal saya dibesarkan.

Apatah lagi penglibatan ini melibatkan peranan secara langsung dalam memperkasa institusi masjid dan surau. Mudah-mudahan ia menjadi landasan dalam menambahbaik ilmu dan memperbaiki diri dalam usia yang menjangkau angka 50an ini, insyaaAllah.

Semoga Allah SWT merahmati segala usaha kita semua… aamiin.

Baca lagi: Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian.

One Thought to “Mesyuarat Agung PPMDSNJ Daerah Pontian Ke-30”

  1. Mustafa Hamzah

    Alhamdulillah, terbaik Pontian. Antara daerah yg aktif di Johor

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.