Generasi Digital Nomad

Assalamualaikum. Amalan bekerja dari rumah (Work From Home) kini semakin mula dipraktikkan dipelbagai sektor industri. Begitu juga dengan berkembangnya generasi Digital Nomad atau Remote Worker dalam budaya kerja hari kini.

Bagi kalangan pemain industri digital, ia bukan perkara baharu.

Budaya kerja ini sudah wujud sejak lebih dua dekad yang lalu. Malah, ada dikalangan peneraju industri digital hari ini bermula dengan budaya kerja seperti ini sebelum era ‘smartphone’ menjadi keperluan dan gaya hidup.

Satu masa dahulu, Digital Nomad dan Remote Worker adalah perkataan yang sangat asing. Mereka yang bekerja dari rumah juga tidak dianggap sebagai satu kerjaya.

Pada hakikatnya, sebahagian besar mereka ini adalah para usahawan, graduan dan freelancer yang berbakat. Ada yang memilih jalan ini kerana kesukaran mendapat peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan akibat persaingan pasaran kerja.

Namun, ada juga yang memilih jalan ini berdasarkan pendedahan sosial dan prospek globalisasi. Mereka mengambil langkah berani untuk mengubah cara bekerja tatkala masih ramai belum menyedari pengaruh internet terhadap gaya hidup dan industri.

Generasi Awal Digital Nomad

Perantau Digital (Digital Nomad) adalah gelaran kepada individu yang memanfaatkan teknologi digital untuk kerjaya. Mereka boleh bekerja dari mana-mana lokasi (Remote Working) tanpa terikat dengan pejabat fizikal, asalkan lokasi itu mempunyai internet.

Kali pertama saya mengenali perkataan Digital Nomad adalah sekitar 1997 di UK. Terdapat pengaruh baharu dikalangan lepasan graduan yang mula mengadaptasi trend bekerja secara bebas di cafe-cafe terpilih dalam membina kerjaya profesional.

Senario bekerja yang banyak kita lihat di cafe-cafe hari ini sebenarnya telah pun wujud sebelum era milenium lagi. Bezanya, cafe pada kebiasaanya dijadikan lokasi temujanji dan perbincangan. Ia masih memerlukan ‘internet cafe’ untuk mengurus komunikasi jarak jauh seperti emel dan seumpamanya.

Generasi Digital Nomad

Ketika itu, kebanyakan mereka yang terlibat mengusahakan kerjaya profesional atau freelance adalah dari kalangan penulis, perekacipta (designers) dalam pelbagai sektor industri, pembangun dan pengatucara perisian serta mereka yang terutamanya terlibat dalam bidang teknologi maklumat (IT).

Namun, ada juga agen jualan, pemasaran, publicists malah perunding hartanah yang turut mengadaptasi budaya ini. Mereka tidak terikat dengan waktu pejabat secara konvensional dan bebas mengurus prospek pasaran dan pelangan di mana-mana lokasi yang sesuai dan strategik.

Mereka semua ini adalah antara generasi awal yang mula mengurus kerjaya secara bebas sebagai usahawan dan Digital Nomad. Kini sudah hampir 30 tahun berlalu. Generasi Digital Nomad semakin bercambah selaras dengan berkembangnya teknologi, peralihan trend digitalisasi dan revolusi perindustrian.

Digital Nomad Dalam Landskap Industri Hari Ini

Kini, prospek generasi Digital Nomad dan Remote Workers telah memasuki fasa yang lebih besar. Ia mula dipandang serius sebagai satu kerjaya berpotensi tinggi. Ia juga menyumbang kepada pendapatan dan pengukuhan ekonomi negara.

Malaysia juga tidak terkecuali. Pelbagai inisiatif dalam pengukuhan infrastruktur digital terus giat dilaksanakan bagi menggalakkan pertumbuhan generasi ini. Malah, kini Malaysia terus giat dalam menarik bakat digital nomad dan remote worker dari seluruh dunia untuk tinggal dan bekerja dalam menyokong ekonomi negara.

Antara yang sedang giat dijalankan adalah Program DE Rantau anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang telah dilancarkan pada 13 September 2022. Ia mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab digital nomad utama di Asia Tenggara. Ini membuktikan betapa besarnya prospek digital nomad dan remote worker dalam perkembangan era digitalisasi hari ini.

Prospek Generasi Digital Nomad Di Malaysia
Prospek Generasi Digital Nomad Di Malaysia

Melalui inisiatif ini, Malaysia secara tidak langsung juga akan menerima limpahan hasil kepakaran generasi digital nomad yang datang dari pelbagai negara dan memanfaatkan prasarana digital yang disediakan. Jika diperhatikan, persaingan tempatan sememangnya masih lagi jauh ketinggalan berbanding kepakaran dan kreativiti mereka yang datang melakar kerjaya di sini.

Oleh itu, selagi persepsi sesetengah masyarakat kita masih di tampuk lama.. generasi muda dan bakat-bakat digital tempatan akan terus ketinggalan.

Selagi kita masih memandang prospek digital nomad, remote worker mahu pun bekerja dari rumah sekadar ‘kerja main-main’ dan tiada potensi kerjaya, kita sebenarnya yang terus kerugian. Ia satu persepsi yang salah dalam era digitalisasi dan globalisasi kini.

Namun, ia sememangnya bukan usaha yang mudah. Ia memerlukan perancangan, kecekalan dan displin dalam memanfaatkan ruang digital untuk menyokong atau membina kerjaya. Mengasah bakat interpersonal skills, pengetahuan dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang diceburi juga amat penting dan sentiasa perlu ditambahbaik selaras perubahan semasa.

Berbekalkan keperluan peralatan kerja yang mudah dibawa dan sistem yang bersesuaian dengan industri yang diceburi, seseorang Digital Nomad mampu bergerak maju dalam prospek era digitalisasi.

Baca lagi> Kenali Potensi eDagang, Online Shop Dan Marketplace

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.