Assalamualaikum. Kelapangan masa menulis pada kali ini, saya terpanggil berkongsi jurnal perjalanan kami ke Wang Kelian View Point yang merupakan antara lokasi menarik untuk dikunjungi di negeri Perlis Indera Kayangan.
Kunjungan ke sini menjadi antara destinasi persinggahan kami dalam merakam siri perjalanan ‘on the road’ ke pelbagai lokasi menarik untuk diabadikan di channel The 2Wheeler di YouTube. Ini juga merupakan kunjungan kali kedua ride ke Perlis dalam merakam pengalaman travel motovlog sebagai jurnal perkongsian di alam maya.
Alhamdulillah, walaupun kunjungan kami ke sini juga terpaksa menempuh hujan, ia tetap menjadi salah satu pengalaman berharga dan menarik untuk turut dikongsikan di blog ini.

Wang Kelian View Point
Wang Kelian View Point merupakan salah satu destinasi popular dikalangan pelancong tempatan dan luar negara di Perlis. Terletak pada ketinggian 304 meter dari aras laut, pada laluan ke sempadan Malaysia-Thailand.
Perjalanan ke sini mengambil masa sekitar 30 minit dari bandar Kangar melalui beberapa pekan dan perkampungan dengan suasana yang mendamaikan. Namun dengan keadaan hujan di beberapa lokasi dengan keadaan jalan yang licin, kami perlu lebih berhati-hati terutama semasa menaiki jalan kaki bukit yang berselekoh dan curam untuk ke sini.
Kami parking di tempat yang disediakan dan perlu berjalan kaki sekitar 200 meter untuk sampai ke destinasi. Ketibaan kami pula disambut dengan rembesan hujan dan hembusan angin yang sejuk. Namun, tempat ini tetap meriah dengan kunjungan ramai walaupun suasana basah. Terasa berbaloi sangat bila sampai ke sini dan menikmati suasana persekitaran dan landskap alam bumi perlis saujana mata memandang.

Wang Kelian View Point sememangnya antara lokasi yang wajib anda kunjungi sekiranya berada di Perlis. Di sinilah juga lokasi popular orang ramai melihat kepulan awan nano bergantung pada keadaan cuaca. Semasa kami di sini, kepulan kabus yang silih berganti ditiup angin sudah cukup memberikan kepuasan dan kegembiraan kami ke sini.
Alhamdulillah, di sini anda boleh menikmati pemandangan landskap alam Perlis yang cantik!
Anda boleh tonton video pengalaman kami di channel The 2Wheeler di YouTube.

A non stereotypical digitalpreneur in e-commerce and media relations industry, a content writer, a video creator and a motovlogger. > PROFILE
Menarik pengalaman ni, saya teringin juga ke sana, moga ada rezeki jejak kaki di situ one day
Sebuah perjalanan dan pengalaman yang manis dan hebat. LeYa pun seronok tengok pengalaman Abg Khir dan Kak kongsi di The 2Wheeler. Menarik sangat