Assalamualaikum. Gambar di atas adalah Surau Kampung Permata di Pontian, Johor. Ia diambil oleh salah seorang sahabat dan jemaah di surau ini sewaktu menjelang maghrib pada 16 Syawal yang lalu dan telah dikongsikan dalam group Whatsapp.
Melihat pada gambar ini membuatkan saya terpanggil untuk mencoret sedikit perkongsian jurnal pengalaman peribadi pada artikel kali ini. Lokasi surau yang terletak sekitar 300 meter dari rumah saya di Pontian, turut menyimpan kenangan sewaktu membesar dahulu.
Gambar ini juga menyentuh hati saya tentang betapa cepatnya masa berlalu. Surau Kampung Permata dan persekitarannya juga telah melalui pelbagai fasa perubahan sejak hampir 40 tahun dari waktu pertama kali saya menjejakkan kaki ke sini.
Surau Kampung Permata
Surau Kampung Permata ini berada dalam Kampung Permata di Jalan Alsagoff, Pontian, Johor. Terletak di tepi laut Selat Melaka, ia sekitar 500 meter dari hospital daerah dan sekitar 2 km dari pusat bandar. Surau ini dikelilingi perumahan bersama taman dan lorong-lorong perumahan lain yang menjadi bahagian daripada komuniti kariah surau ini.
Berdasarkan maklumat dari Portal Masjid Malaysia, Surau Kampung Permata secara rasmi dibina pada 30 November 2001. Namun, ia sebenarnya telah pun wujud sejak sekitar 80an lagi dengan struktur bangunan kayu. Pada hemat saya, ia merupakan surau tertua sebelum surau di taman-taman perumahan baharu di kawasan berhampiran dibangunkan.

Pertama kali saya ke surau ini adalah sekitar tahun 1986. Masa itu saya masih lagi di sekolah rendah. Saya dan keluarga telah berpindah ke taman perumahan yang baru sahaja siap untuk diduduki berhampiran Kampung Permata. Maka bermulalah fasa kehidupan membesar bersama kejiranan dalam persekitaran yang baharu.
Surau ini menjadi lokasi persinggahan terutama pada solat Asar. Kini jika melihat kanak-kanak yang bermain basikal pada waktu petang dan singgah solat Asar berjemaah di surau ini.. hampir begitulah juga keadaan saya pada 40 tahun dahulu. Bezanya dahulu, bahagian belakang surau ini berpaya bakau yang menjadi antara lokasi bermain meredah selut paya bakau. Mandi laut dan memancing sembilang adalah perkara biasa.
Namun, ketika itu Masjid Bandar Pontian juga turut menjadi tumpuan sebahagian besar jemaah termasuklah saya bersama keluarga. Maka tidak banyak kenangan di surau ini selain solat Asar dan bermain di kawasan persekitarannya bersama kawan-kawan. Sungguh pun begitu, persekitaran di sini menjadi sebahagian pengalaman awal semasa membesar di Pontian yang terpahat kekal dalam memori kehidupan ini.

Fasa Kehidupan Baru
Tahun 1994, saya meninggalkan Pontian untuk melanjutkan pelajaran seterusnya berkahwin dan berkeluarga. Pelbagai pahit manis dalam cabaran kehidupan turut dilalui. Begitu juga bila dilihat Surau Kampung Permata dan kawasan sekitarnya yang telah banyak berubah setelah lebih 30 tahun berlalu.
Saya mula berpindah kembali ke sini pada awal tahun 2024 bagi menunaikan hasrat peribadi arwah ayah dan juga ibu, meninggalkan anak-anak yang sudah bekerja meneruskan kehidupan mereka di Selangor. Sejak itu jugalah, Surau Kampung Permata menjadi lokasi solat berjemaah menggantikan Surau Madrasah As-Siddiqin di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor bersama pelbagai kenangan manis di sana.
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dapat terus bersama-sama mengimarahkan salah satu rumah Allah ini. Mudah-mudah ukhwah silaturrahim yang terjalin bersama pelbagai aktiviti-aktiviti ibadah dan pengimarahan surau juga dapat menjadi salah satu asbab menghapus dosa dan memberati timbangan amal kita di akhirat kelak… aamiin.
Baca lagi > Al Fatihah Buat Arwah Ayah Tercinta

Penulis merupakan seorang pengurus kandungan digital dengan kerjasama agensi perhubungan awam di Malaysia dan rangkaian Asia Tenggara. > PROFIL



Alhamdulillah, suasana nampak meriah dan ada jiwa kejiranan yg baik dlm kalangan kariahnya. Semoga Allah rahmati surau ini dan jemaahnya.. aamiin
Lama dah saya tak ke Pontian. Kali terakhir ke sana lebih 10 tahun dulu ikut beraya family sblh wife. Mesti banyak perubahan skrng