Seminar Pasca Perkahwinan anjuran Pejabat Kadi Daerah Pontian

Assalamualaikum. Perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang menyatukan dua jiwa, malah menggabungkan dua keluarga besar dalam ikatan silaturrahim. Ia lembaran jangka panjang yang menuntut kesefahaman, kerjasama dan tanggungjawab kedua pihak.

Secara individu, mempelajari ilmu munakahat (kekeluargaan / perkahwinan) adalah tanggungjawab setiap mukmin. Manakala seorang imam kariah adalah antara individu yang sangat digalakkan untuk memahami ilmu ini dalam membantu masyarakat setempat.

Atas faktor tersebut, saya telah menghadiri Seminar Pasca Perkahwinan sebagai salah seorang imam kariah, juga mewakili Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian.

Seminar Pasca Perkahwinan

Seminar Pasca Perkahwinan

Seminar Pasca Perkahwinan ini dianjurkan oleh Pejabat Kadi Daerah Pontian dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada hari Khamis, 18 Jun 2026 di Pusat Darul Quran, Pulai Sebatang, Pontian, Johor.

Seminar bertajuk, Memahami Hak Mengukuh Cinta Rahsia Rumahtangga Bahagia Tahun 2026 ini telah diwakili oleh dua penceramah iaitu Ustazah Hasnita Binti Hashim, Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, JAINJ bagi sesi Pertama dan Ustaz Haji Mohd Zamri Bin Kambari, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Keluarga, JAINJ bagi sesi kedua.

Pelbagai perkara berkaitan ilmu munakahat yang dikongsikan. Antaranya mengingatkan perkara yang pernah dipelajari, namun banyak input baharu saya perolehi berdasarkan realiti dan pengalaman mereka yang terlibat dalam isu-isu berkaitan pembangunan keluarga di jabatan agama. Ia membuka mata saya tentang pelbagai isu-isu perkahwinan dan kekeluargaan yang berlaku dikalangan masyarakat islam hari ini.

Ia turut menjelaskan peranan JAINJ dalam membantu jalan penyelesaian terbaik terhadap isu-isu rumahtangga, perkahwinan, penceraian dan kes-kes di mahkamah syariah. Seminar turut menjelaskan tentang Skim Bantuan Guaman Syarie Negeri Johor dalam membantu golongan kurang berkemampuan untuk mendapat pembelaan di Mahkamah Syariah.

Seminar Pasca Perkahwinan anjuran Pejabat Kadi Daerah Pontian

Peranan Imam Dalam Siasah Komuniti

Secara keseluruhan, seminar ini telah membantu memberi pendedahan kepada peserta tentang pentingnya memahami ilmu munakahat agar dapat dipraktikkan sebagai cara hidup dalam membina keluarga bahagia dan komuniti yang lebih harmoni.

Ia turut memberi peringatan kepada saya tentang amanah dan tanggungjawab seorang imam yang bukan sekadar tertumpu kepada ibadah solat dan pengimarahan surau, tetapi turut berperanan dalam memudahcara urusan kekeluargaan dan siasah komuniti dikalangan ahli kariah yang memerlukan bantuan sebagai sebahagian daripada tuntutan fardu kifayah.

Mudah-mudahan banyak lagi pengisian ilmu sebegini yang dapat saya jadikan input bermanfaat demi kebaikan kariah dan masyarakat setempat, insyaaAllah.

Baca lagi > Mesyuarat Agung PPMDSNJ Daerah Pontian Ke-30

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.