Assalamualaikum. Baru-baru ini saya berpeluang beriktikaf di Masjid Sultan. Lantas, terpanggil untuk mengabadikan suasana persekitaran yang mendamaikan dalam kesibukan dan arus kemajuan kota Singapura.
Cuaca mendung dan hujan menyambut ketibaan. Ada masa lebat dan ada masa gerimis, malah cuaca terus mendung walaupun hujan telah reda. Ia menimbulkan suasana sayu bersama ketenangan semasa berada di masjid bersejarah ini.
Memandangkan saya antara yang terlibat dalam pengimarahan masjid dan surau, kesempatan ini juga saya manfaatkan untuk menimba pengalaman, idea dan input urus tadbir disamping mengenali sejarah masjid yang menjangkau lebih 200 tahun.

Masjid Sultan Singapura
Masjid Sultan terletak di Kampong Gelam. Ia merupakan sebuah masjid bersejarah di Singapura yang dibina pada tahun 1824 oleh Sultan Hussein Shah daripada kesultanan Johor hasil perjanjian dengan British. Struktur asal hanya sebuah bangunan satu tingkat.
Setelah masjid asal semakin usang, ia telah dirobohkan dan dibina semula secara menyeluruh sekitar tahun 1928 sehingga 1932. Ia direka oleh arkitek Denis Santry, menampilkan gabungan reka bentuk Arab, Moor dan Saracenic bersama kubah emas dan menara masjid seperti yang kita lihat pada masa kini.
Masjid ini telah diistiharkan secara rasmi sebagai Bangunan Dan Monumen Kebangsaan pada 14 Mac 1975 oleh Kerajaan Singapura. Sejak itu ia terus dijaga dari masa ke semasa. Kerja-kerja pemulihan utama turut dijalankan dibawah Program Peningkatan Masjid oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) agar ciri-ciri warisannya dapat terus terpelihara.

Pada Ogos 2016, Masjid Sultan menjadi masjid pertama di Singapura yang menerima pensijilan ISO 9001. Pensijilan ini mengiktiraf piawaian tinggi pengurusan, khidmat pelanggan dan tadbir urus keseluruhan badan pentadbirnya.
Pengurusan masjid diselia oleh MUIS dengan urus tadbir harian dikendalikan oleh Lembaga Pengurusan Masjid (Mosque Management Board – MBB) yang terdiri daripada kakitangan sepenuh masa dan pelbagai jawatankuasa sukarelawan. MBB bertanggungjawab mengurus operasi, program keagamaan, pembangunan sosial dan kebajikan masyarakat.
Lebih unik, pemilikan masjid sebagai bangunan warisan ini diletakkan dibawah Lembaga Pemegang Amanah yang diwakili pelbagai etnik. Berdasarkan surat ikatan amanah asal, lembaga ini dianggotai 12 ahli yang mewakili 6 kumpulan etnik iaitu Melayu, Bugis, Jawa, Arab, Tamil dan India Utara, yang bertanggungjawab menjaga struktur dan pemilikan tanah.
Atas kombinasi kerjasama inilah menjadikan Masjid Sultan terus terpelihara dan sentiasa diimarahkan dengan pelbagai program sehingga ke hari ini. Kapasiti rasmi masjid ini mampu menampung seramai 5000 jemaah pada satu-satu masa.

Masjid Pilihan Untuk Solat Dan Iktikaf
Masjid Sultan berada di Muscat Street, Kampong Gelam, Singapura.
Alhamdulillah, prasarana bersih dan selesa juga menjadikan masjid ini antara lokasi pilihan untuk saya solat dan beriktikaf jika berada di Singapura. Selain itu, terdapat pelbagai restoran halal disamping kedai-kedai cenderahati dalam persekitaran klasik, kreatif dan moden.
Akses ke sini juga mudah terutamanya bagi pejalan kaki. Bagi warga Malaysia seperti saya, perjalanan menaiki bas dari Johor adalah pilihan paling mudah. Anda hanya perlu menaiki bas Singapore – Johor Express (SJE) dari Terminal Bas Larkin Central ke Terminal Bas Queen Street dan berjalan kaki sekitar 700 meter untuk ke sini.
Stesen MRT terdekat adalah Bugis Station (laluan Downtown / East West). Ia hanya mengambil masa sekitar 5 minit berjalan kaki ke Masjid Sultan.
Baca lagi > Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian

Laman KhirKhalid.com berkongsi perspektif dan jurnal pengalaman penulis dalam penglibatan digital, inisiatif dakwah dan kembara marhaen. > PROFIL.


