Assalamualaikum. Tahukah anda bahawa negeri Johor kini sedang pesat membangun untuk menjadi hab digital utama ASEAN?
Didorong oleh peningkatan pelaburan dalam pusat data, infrastruktur teknologi dan kedudukan yang strategik bersebelahan negara Singapura, negeri Johor dijangka bakal menyumbang 60% daripada jumlah kapasiti pusat data Malaysia menjelang 2030.
Johor diiktiraf sebagai hab pusat data paling pesat berkembang di ASEAN. Ia juga dipilih sebagai salah satu rakan kongsi cloud NVIDIA global, sekaligus mengukuh kedudukan sebagai pusat kecerdasan buatan (AI) di rantau Asia Tenggara.
Johor Sebagai Hab Digital ASEAN
Tahun 2024 membawa satu lagi titik perubahan dalam kehidupan ini. Saya mengambil keputusan untuk memulakan inisiatif baru dalam penglibatan kerjasama digital.
Antara faktor saya kurang menulis dan menerbitkan artikel-artikel baharu untuk beberapa waktu juga disebabkan perpindahan saya dari Selangor ke Pontian, Johor, tempat asal saya dibesarkan sebelum melanjutkan pelajaran ke KL dan UK.
Pada asalnya ia menjurus atas sebab peribadi demi menunaikan amanah arwah ayah berkaitan urusan keluarga. Ia bukan satu keputusan mudah setelah lebih 30 tahun merantau dan membina kehidupan terutama di KL dan Selangor. Beberapa tahun saya memikirkan sebelum membuat keputusan ini.
Namun setelah ada anak-anak yang bekerja dan mahu terus menetap di Selangor, barulah saya rasa ia masa yang sesuai. Tambahan bila mengetahui hasrat kerajaan Johor untuk menaiktaraf prasarana digital dalam usaha menjadikan negeri Johor sebagai hab digital utama ASEAN, saya terdorong untuk melakukan perubahan.
Penglibatan lebih sedekad dalam industri digital dengan kebiasaan melaksanakan kerja secara remote working juga menjadi faktor yang mendorong untuk bertindak. Sokongan rakan industri turut menjadi titik tambah… ini adalah prospek yang patut saya teroka.

Atas kesemua faktor tersebut, perpindahan saya ke Pontian mempunyai asbab yang kukuh. Ia menjadi fasa peralihan dalam urusan peribadi dan kerjaya.
Gambar di atas antara progres renovasi home studio sekitar 2024 di Pontian. Pengalaman mengurus komunikasi jarak jauh ke pelbagai lokasi dan negara amat membantu. Walaupun budaya work from home dalam kerjasama sektor korporat masih asing bagi sesetengah orang di sini, komunikasi social network dan berniaga secara online adalah perkara biasa. Pontian juga mempunyai liputan internet yang baik.
Dari aspek logistik, perjalanan fizikal ke JB atau KL dan Selangor mula diadaptasi menjadi kebiasaan. Ia juga hanya mengambil masa sekitar 45 minit dari tempat saya untuk ke dua lokasi pengkalan digital terbesar di Johor iaitu YTL Green Data Centre Park di Kulai dan Nusajaya Tech Park di Iskandar Puteri. Jarak ke Singapura pun sekitar 70km dan mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit melalui jalan darat.
Kini, ada dikalangan rakan industri yang turut mengorak langkah membangun prasarana digital seperti server room di Nusajaya. Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi Johor sebagai hab digital ASEAN. Ia juga menjadi faktor pendorong untuk saya istiqamah terhadap usaha ini.

Pemerkasaan Budaya Kerja Era Digital
Alhamdulillah, setelah lebih 2 tahun dari permulaan fasa perpindahan, saya mula merasai ruang kehidupan yang berbeza. Gaya hidup di sini juga agak relax berbanding di kota-kota besar. Mudah-mudah membantu memberi idea menulis yang lebih baik disamping memperkukuh profesionalisme digital.
Budaya kerja era Internet of Things sememangnya memerlukan penguasaan komunikasi dan kelengkapan digital yang baik. Saya sedar, Allah swt telah kurniakan sumber dan lokasi yang strategik bersama rakan kerjasama industri yang fleksibel untuk terus mendepani arus globalisasi.
Kini, semua berjalan lancar walaupun ada sebahagian masih dalam pengaturan dan penambahbaikan. InsyaaAllah, saya akan kongsikan perkembangan ini disamping sebahagian jurnal penglibatan komuniti yang berkaitan di sini.
Baca lagi> Kenali Apa Itu Revolusi Industri 4.0 (IR4.0)

Penulis merupakan seorang pengurus kandungan digital kepada agensi perhubungan awam di Malaysia dan rangkaian Asia Tenggara. > PROFIL


Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan segala urusan tuan dan keluarga di Pontian.
InsyaaAllah, terima kasih atas doa tuan dan semoga berbalik kepada tuan sekeluarga juga.. aamiin. Salam ukhwah selalu 🙂
Dari perspektif yg ditulis, tuan buat keputusan yg betul. Tuan antara yg terawal mempelopori budaya industri ini, dgn pengalaman, sumber dan jaringan yg ada, mmg patut tuan explore peluang spt ini. Thanks sharing.
InsyaaAllah, mudah2an. Terima kasih atas pandangan tuan. Semoga diberkati selalu.. aamiin.
Ada masa dah boleh join WordPress meet up di Puteri Harbour pula nanti