Assalamualaikum. Baru-baru ini saya berkesempatan menziarahi Makam Habib Noh Al-Habsyi di Palmer Road, Singapura. Makam seorang ulama dan ahli sufi yang besar jasanya dalam sejarah pengembangan Islam di rantau Nusantara pada abad ke-19.
Alhamdulillah, setelah beberapa kali saya berhasrat untuk berkunjung ke sini sekiranya berada di Singapura, akhirnya kali ini dengan izinNya saya dapat meluangkan masa berziarah dan mengabadikan pengalaman tersebut pada artikel ini.
Sebuah makam yang dimuliakan ini terletak di atas bukit Palmer bersebelahan dengan Masjid Haji Muhammad Salleh. Ia dijaga rapi dengan persekitaran bersih dan mendamaikan.

Makam Habib Noh Al-Habsyi
Makam Habib Noh merupakan salah satu bukti sejarah yang terkait dengan pengembangan dakwah Islam di Tanah Melayu dan Singapura.
Di sinilah bersemadinya jasad seorang tokoh ulama sufi bernama As-Sayyid Noh bin As-Sayyid Muhammad Al-Habsy. Seorang ulama berketurunan Arab berasal Yaman dari susur galur keturunan Rasulullah s.a.w menerusi nasab Zainal Abidin bin Saidina Hussein r.a.
Habib Noh merupakan seorang wali dan tokoh agama penting dalam dunia dakwah Islam. Beliau dilahirkan pada tahun 1788 dan menghabiskan sepanjang hayat beliau dalam usaha dakwah. Pernah menetap di Kedah, beliau sering berdakwah ke negeri-negeri Melayu sehinggalah ke Johor dan akhirnya berhijrah ke Singapura pada tahun 1819.
Di sini jugalah menjadi lokasi beliau sering beribadah sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada 27 Julai 1866 dalam usia 78 tahun dan dikebumikan di sini.
Semasa hidup, beliau dikenali sebagai seorang yang pemurah, disegani dan rapat dengan pelbagai lapisan masyarakat. Beliau juga dikatakan mempunyai karamah iaitu kelebihan luar biasa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Banyak kisah-kisah tersebut diceritakan secara turun temurun oleh masyarakat Nusantara sehingga ke hari ini.
Malah, semasa beliau sudah meninggal dunia juga terdapat beberapa peristiwa yang berlaku, antaranya adalah kegagalan untuk memindahkan makam ini bagi tujuan pembinaan lebuhraya. Akhirnya laluan lebuhraya tersebut terpaksa dilencongkan.
Apa pun, makam ini membuktikan peranan penting para pendakwah dalam usaha berterusan memartabatkan agama Islam semasa era penjajahan kolonial.

Sehingga kini Makam Habib Noh terus dijaga dan dipulihara. Setelah ditutup sekitar satu tahun setengah untuk fasa pemuliharan secara besar-besaran dengan perbelanjaan sekitar SGD 2 juta, ia kini telah pun beroperasi semula dengan wajah baharu.
Waktu operasi untuk berziarah ke makam ini adalah seperti berikut;
- Isnin hingga Khamis: 10 pagi hingga 6 petang.
- Jumaat: 2:30 petang (Dibuka selepas selesai solat Jumaat).
- Sabtu & Ahad: 9 pagi hingga 6 petang.
Cara mudah untuk ke sini adalah dengan menaiki MRT Yellow Line (Circle Line) ke perhentian Prince Edward Road MRT Station (CC32). Makam ini terletak berhampiran stesen tersebut dan hanya mengambil masa sekitar seminit berjalan kaki.
Justeru itu, marilah sama-sama kita sedekahkan bacaan Al Fatihah untuk roh Almarhum Habib As-Sayyid Noh bin As-Sayyid Muhammad Al-Habsy. Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas rohnya… aamiin.
Baca Lagi > Iktikaf Di Masjid Sultan Singapura

Laman KhirKhalid.com berkongsi pengalaman penulis tentang perspektif digital, jurnal kembara dan penglibatan siasah komuniti. > PROFIL.



Alhamdulillah, permah ke sini beberapa tahun dulu. Pasti bnyk penambahbaikan skrng. Stesen MRT tu pun laluan baru rasanya.. sblum ni stesen paling dekat di Tg Pagar dlm 5 minit jln kaki. Thanks sharing!