Terengganu catat pertumbuhan pelaburan yang kukuh

Model pembangunan bersepadu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan kerjasama erat Kerajaan Negeri Terengganu telah meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik pelaburan komited bernilai RM700 juta.

Pertumbuhan pesat dalam sektor pertanian merupakan penyumbang utama kepada prestasi pelaburan yang kukuh ini dengan merangkumi 54% daripada keseluruhan pelaburan komited, diikuti oleh sektor pembuatan (24%) dan pelancongan (22%).

“Aktiviti pelaburan yang rancak merupakan pemacu utama bagi prestasi kukuh ekonomi Negeri Terengganu. Apa yang menarik mengenai prestasi ekonomi tahun lalu adalah sektor pertanian merekodkan pelaburan yang terbesar, bukan sektor pembuatan mahupun pelancongan. Ini menunjukkan Terengganu kini menjadi destinasi pelaburan pelbagai sektor bagi pelabur domestik dan asing. Perkara ini sekaligus memacu ekonomi tempatan menerusi perwujudan pekerjaan untuk rakyat dan peluang perniagaan bagi komuniti setempat” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perlaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu. Mesyuarat ICC tersebut dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu.

Pelaburan Domestik Dan Asing

Antara tahun 2007 dan Disember 2019, Terengganu telah berjaya memperolehi pelaburan domestik dan asing bernilai lebih RM34.7 bilion menerusi projek-projek dan program-program ECERDC. Hasilnya, lebih 34,000 peluang pekerjaan dan 3,700 peluang keusahawanan telah diwujudkan.

“Bagi meneruskan momentum, ECERDC akan menumpukan kepada inisiatif penarikan pelaburan dalam sektor-sektor lain seperti peralatan perubatan, petrokimia, bahan kimia khusus, mineral industri, tenaga boleh diperbaharui, perniagaan tani dan pelancongan dengan memanfaatkan kelebihan Terengganu dalam sumber semulajadi dan pulau-pulau yang cantik” kata Encik Baidzawi.

Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC dan Kerajaan Negeri Terengganu juga telah membangunkan beberapa projek yang telah menjadi pemangkin utama pertumbuhan di Terengganu, termasuk jambatan angkat ikonik di Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC) yang telah disiapkan pada tahun 2019. Projek ini menjadi destinasi pelancongan ikonik baharu dan memacu sektor perlancongan di Terengganu. Selain itu, projek ini juga menyokong industri hiliran marin di sekitar Pulau Duyong.

“Kami akan mengiatkan usaha untuk memastikan Terengganu kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik di ECER. ECERDC kekal komited merealisasikan sasaran pelaburan iaitu untuk menarik RM70 billion lagi ke ECER menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Pelan Induk ECER 2.0. Daripada RM70 billion tersebut, Terengganu dijangka menarik pelaburan sebanyak RM26 billion, mewujudkan 36,600 peluang pekerjaan dan 15,550 usahawan menjelang tahun 2025.”

“Sasaran ini akan dicapai dengan formula kami iaitu menerusi perlaksanaan projek-projek berimpak tinggi dan program-program pembangunan modal insan strategik. Kami akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi negeri Terengganu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Petronas untuk menarik pelaburan-pelaburan swasta yang boleh menjana pekerjaan berkualiti untuk warga tempatan, disamping mengukuhkan potensi wilayah ini sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan dinamik,” kata Encik Baidzawi.

Terengganu catat pertumbuhan pelaburan yang kukuh

Pembangunan Modal Insan Terengganu

Pembangunan modal insan merupakan satu lagi elemen kritikal dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat. Program-program pembangunan modal insan inklusif ECERDC seperti empower ECER dan entrepreneur ECER membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk rakyat dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri. Program-program ini selaras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) dan bermatlamat untuk membolehkan pertumbuhan yang saksama, inklusif dan mampan di seluruh Malaysia.

Majlis konvokesyen dan penyampaian anugerah dianjurkan bagi meraikan kejayaan peserta-peserta program empower ECER di Terengganu. Keseluruhannya, seramai 800 peserta menerima sijil tamat kursus Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER. Dimajlis tersebut, 11 peserta menerima Anugerah Usahawan empower ECER sebagai pengiktirafan di atas pencapaian mereka, manakala seramai 15 peserta Latihan Akademik empower ECER menerima Anugerah Juara empower ECER kerana mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR 2019.

Anugerah utama diberikan kepada Norhasimah Abd Ghani, pemenang Anugerah Usahawan Gemilang empower ECER. Norhasimah kini mempunyai kilang produk sejuk beku sendiri dengan produk utamanya, ketupat palas dan memperoleh pendapatan lebih daripada RM21,000 sebulan. Dengan bantuan 4 orang pekerja, beliau berupaya menghasilkan antara 30,000 ke 40,000 ketupat palas berbagai perisa setiap bulan. Produk ketupatnya mendapat pensijilan Halal dan kini turut dijual di Singapura dan Arab Saudi.

Salah seorang daripada penerima Anugerah Juara empower ECER iaitu Muhammad Qaedi Sidqi bin Mohd Nasir. Anak seorang nelayan di Kuala Nerus, Qaedi telah mendapat keputusan 6A dalam peperiksaan UPSR. Keputusan beliau merupakan perubahan yang drastik berbanding keputusan sebelum menyertai program empower ECER iaitu 2B, 3C dan 1E.

Selain program empower ECER, ECERDC juga telah melaksanakan program-program pembangunan modal insan seperti entrepreneur ECER untuk membantu usahawan micro, kecil dan sederhana dan peserta Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) bagi melahirkan pekerja mahir dalam kalangan warga setempat untuk memenuhi keperluan para pelabur.

Pada tahun 2019, Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER dan program-program entrepreneuer ECER telah mewujudkan seramai 426 usahawan dan 959 peluang pekerjaan untuk rakyat yang purata gaji bulan sebanyak RM2,000. Program Latihan Akademik pula telah memberi bimbingan kepada 1,518 pelajar berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian bidang akademik dengan Mencapai Tahap Minimum (MTM) 76%. Sebelum pelajar melibatkan diri dalam program Program Latihan Akademik, MTM yang dicapai hanyalah 38%.

“Melihat kepada impak program-program ini kepada komuniti telah mendorong kami untuk terus meningkatkan kapasiti rakyat. Program empower ECER mempunyai rekod prestasi yang baik, justeru itu kami akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan agensi-agensi yang relevan untuk melaksanakan program-program modal insan inklusif ECERDC bagi mempertingkatkan kualiti hidup rakyat dan menjadikan mereka lebih yakin melibatkan diri dan menyumbang kepada kemakmuran Wilayah,” tambah Encik Baidzawi.

Baca lagi: Pelan Induk ECER 2.0

4 Thoughts to “Terengganu Catat Pertumbuhan Pelaburan Yang Kukuh”

  1. lebih2 lagi bila dah ada draw bridge kan… eh ehh lain menyimpangnya pula

  2. Tahniah kepada semua penerima anugerah.
    Bila ramai pelabur di satu-satu negeri maka mudah negeri tersebut untuk terus berkembang dan meningkarkan potensi.Bakal banyak juga kemudahan dan bantuan yang boleh disalurkan.Rakyatnya lebih selesa dan lebih bermotivasi.

  3. Terengganu kite…
    Semoga bertambah maju dan makmur

  4. Tahniah Trengganu dgn pengurusan ekonomi bijak memajukan negeri n meingkatkan taraf hidup rakyat

Leave a Comment

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.