Assalamualaikum. Surau Kampung Permata ini berada di Pontian, Johor.
Surau yang terletak di Kampung Permata ini dikelilingi kawasan residensi merangkumi lorong-lorong dan taman-taman perumahan di sekitarnya. Ia juga di tepi laut dan sekitar 500 meter dari Hospital Daerah Pontian.
Ia bukanlah surau yang besar seperti dikebanyakan taman-taman perumahan masa kini. Tetapi ia istimewa, malah mempunyai nostalgia buat saya.
Justeru pada artikel kali ini saya terpanggil menulis serba sedikit pengalaman tentang surau ini sebagai penghargaan dan kenangan.
Surau Kampung Permata
Surau ini telah wujud sejak awal 80an.
Ia hanya sekitar 350 meter dari rumah pusaka arwah ayah saya.
Sejak kami sekeluarga berpindah ke Taman Zalinah pada 1986, yang pada masa itu merupakan taman perumahan baharu berhampiran Kampung Permata, surau ini telahpun ada. Namun keadaan masa itu jauh berbeza dengan sekarang.
Dahulu, ia hanyalah surau binaan kayu di ceruk kampung dengan beberapa rumah di tepian pesisir laut hutan paya bakau. Belum banyak perumahan baharu yang dibina di kawasan berhampiran ketika itu. Namun di sinilah tempat kami meronda-ronda bermain basikal, meneroka hutan paya bakau, memancing dan mandi laut.
Kawasan paya bakau inilah juga lubuk ikan sembilang, termasuklah ular bakau!
Semua itu menjadi sebahagian kenangan membesar di Pontian sebelum berhijrah melanjutkan pelajaran, bekerja, berkahwin dan seterusnya menetap di Selangor.
Kini sudah lebih 30 tahun berlalu.. persekitaran pun sudah banyak berubah.



Gotong Royong Bersama Jemaah Surau
Alhamdulillah, pada tahun 2024 telah banyak pembaharuan dan penambahbaikan yang dilakukan pada persekitaran surau ini.
Antaranya adalah membaiki paip bocor dan menyediakan tangki air yang baharu. Seterusnya, kerja-kerja penambahbaikan persekitaran luar dengan pembinaan tembok pagar yang memisahkan bahagian jalan dengan kaki lima surau.
Setelah tembok pagar siap, kerja-kerja mengecat pula dilakukan secara gotong-royong bersama rakan jemaah. Malah, bukan sekadar mengecat tembok pagar sahaja, tetapi turut memperbaharui cat dinding luar.
Kerjasama gotong royong ini juga dibuat beberapa kali pada pagi Sabtu dan turut memperkemas persekitaran luar dan dalam surau.



Saya juga bersyukur kerana sekembalinya ke sini bagi menunaikan hasrat keluarga disambut baik kejiranan dan jemaah. Kepercayaan untuk saya turut berperanan mengimarahkan surau ini juga menjadi satu amanah buat diri ini.
Jurnal terkait Surau Kampung Permata ini juga ada saya tulis sebelum ini dan boleh dibaca di sini > Salam 2025 – Istiqamah Dalam Amanah Kehidupan.
InsyaaAllah, Surau Kampung Permata akan terus diimarahkan dengan aktiviti bersama rakan jemaah selain menunaikan solat fardu, tazkirah, taklim dan memenuhi pelbagai lagi tuntutan fardu kifayah di sekitar kariah.
Walaupun ia sebuah surau kecil, ia memberi kelebihan untuk kami lebih akrab dalam hubungan sesama jemaah seperti keluarga. Surau ini juga menjadi platform ukhwah dan dakwah serta turut diibaratkan sebagai rumah kedua kami.
Semoga Allah SWT sentiasa memberkati semuanya.. aamiin.
Baca lagi > Amalan Ketika Tawaf Haji Dan Umrah

Seorang Digitalpreneur dan Content Writer. Berkongsi perspektif industri digital disamping jurnal peribadi, editorial dan dakwah. > PROFILE
terbaik tuan. semoga tuan sentiasa diberikan kesihatan selalu.
Terima kasih! Sama-samalah kita semua hendaknya.. aamiin 🙂