ICC ECER JohorKeusahawanan 

Sektor Pelancongan Dan Asas Tani Pacu Pertumbuhan Ekonomi Mersing

Sektor pelancongan akan terus memacu pertumbuhan ekonomi Mersing, Johor, diikuti perniagaan tani yang telah dikenal pasti sebagai sektor pertumbuhan baharu bagi daerah yang merupakan sebahagian dari Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) ini.
Sektor pelancongan merupakan penyumbang utama ekonomi Mersing sejak sedekad lalu, susulan pelaksanaan projek-projek infrastruktur berimpak tinggi dan strategi pembangunan ‘Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ (Rainforest to Reef – R2R) yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Dan Penyelarasan (ICC) ECER Johor

Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER untuk negeri Johor telah berlangsung pada 13 Mac 2018 dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin di pejabatnya di Kota Iskandar.
Antara tahun 2007 hingga Januari 2018, Mersing telah menarik pelaburan swasta bernilai RM1.6 bilion. Pelaburan ini telah mewujudkan sebanyak 1,710 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.

“Sejak 10 tahun lalu, sektor pelancongan telah menjadi enjin utama pertumbuhan Mersing, dengan menyumbang sebanyak 63% daripada jumlah pelaburan swasta sehingga kini. Walaupun ia terus menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi yang penting, sektor perniagaan tani dilihat mampu menjadi pemacu pertumbuhan seterusnya, terutamanya dalam industri perikanan dan ternakan,” – Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Menurut Datuk Seri Issace lagi, projek serta program-program inklusif dan berimpak tinggi di bawah strategi pembangunan ‘Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ (Rainforest to Reef – R2R)’ oleh ECERDC dan Kerajaan Negeri sepanjang sedekat lalu telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang ekonomi penduduk tempatan.

Ia juga memperkukuhkan kedudukan Mersing dan pulau-pulau sekitar sebagai antara destinasi pelancongan paling banyak dikunjungi di Malaysia.

Projek-projek ini termasuk Mersing Harbour Centre, Medan Ikan Bakar Endau, penaiktarafan jalan ke Taman Negara Endau-Rompin, pembinaan dan penaiktarafan kemudahan awam seperti jeti dan laluan pejalan kaki di kepulauan Mersing iaitu Pulau Aur, Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil.

Pembangunan Inklusif Sektor Pelancongan Dan Perniagaan Asas Tani ECER Pacu Pertumbuhan Ekonomi Daerah Mersing.

ECERDC turut mengenal pasti ekopelancongan di Taman Negara Endau-Rompin, serta pembangunan pelancongan di pulau-pulau Mersing, Tanjung Penyabong dan Tanjung Leman, serta Kampungstay Air Papan, antara lain, sebagai projek utama yang akan meningkatkan lagi pelancong ke Mersing.
Projek-projek berimpak tinggi seperti Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing dan Lembah Tenusu di Jemaluang akan merangsang transformasi sosioekonomi setempat. Ia selaras dengan Bajet Johor 2018 dan aspirasi Kerajaan Negeri Johor untuk menjadikan sektor perniagaan tani sebagai satu lagi pemacu ekonomi penting dan pelengkap kepada industri pelancongan  di Mersing.
ECER, ECERDC, Mersing, Pejabat Menteri Besar Johor,

Selain itu, pembangunan Lembah Tenusu di Jemaluang akan menjadi satu lagi pemangkin pertumbuhan yang bakal menyokong sektor perniagaan tani untuk industri ternakan dan tenusu.

Projek ini melibatkan pembangunan sebuah ladang tenusu komersial di kawasan seluas 275 hektar di Sungai Ambat, Jemaluang, melibatkan pembinaan sebuah kandang lembu, kawasan memerah susu, pusat pemprosesan susu, makanan ternakan dan lain-lain komponen yang diperlukan untuk membangunkan ladang tenusu yang dilengkapi dengan aktiviti agro-pelancongan.

Infrastruktur projek yang dijayakan oleh pelaburan swasta ini akan dibina mengikut konsep Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) ECERDC di Pahang. Ia dijangka mampu mengeluarkan 4 juta liter susu segar menjelang 2021 dan mewujudkan 60 peluang pekerjaan baru.
Projek Lembah Tenusu ini juga akan mewujudkan limpahan manfaat, di mana para petani tempatan akan dikenal pasti dan dilatih sebagai petani satelit dalam industri pengeluaran susu. Petani satelit baharu juga dijangka akan diwujudkan, terutama bagi yang berhasrat menceburi perniagaan tani melalui peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan taraf hidup.
Program Inklusif Pembangunan Modal Insan ECER Daerah Mersing
Setakat ini, lebih daripada 4,788 penduduk di Mersing telah mendapat manfaat inisiatif di bawah program inklusif pembangunan modal insan ECERDC seperti empower ECER dan entrepreneur ECER.
Kira-kira 90% daripada keseluruhan peserta adalah kategori berpendapatan 40% terbawah (B40), yang sebahagian besar terlibat dalam program empower ECER. Mereka termasuk 2,400 pelajar di bawah program Latihan Akademik empower ECER yang telah mencatat peningkatan 67% dalam prestasi akademik, dan 600 peserta dewasa di bawah program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER, dengan 80% berjaya menjadi usahawan selepas menamatkan program.
Sementara itu, seramai 355 peserta program entrepreneur ECER telah mendapat pembiayaan perniagaan daripada Maybank atau Agrobank serta pembangunan produk daripada SIRIM untuk mengembangkan perniagaan mereka. Secara purata, usahawan-usahawan ini telah mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 30%.

Related posts

4 Thoughts to “Sektor Pelancongan Dan Asas Tani Pacu Pertumbuhan Ekonomi Mersing”

  1. pelancongan dan asas tani memang tidak dapat dipisahkan dalam menaiktaraf pendapatan rakyat

  2. Semoga Mersing bertambah maju.

  3. sebut asas tani ni teringat zaman pak lah dulu..

  4. harap pada ms hadapan akan perbanyakkan lagi lembah tenusu… sbb dlm ms yg sm malaysia boleh jd pembekal utama daging halal kan…

Leave a Comment

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.