Assalamualaikum wbt. Salam 2025 kepada semua.
Alhamdulillah, kini kita sudah pun di tahun 2025, meninggalkan tahun sebelumnya menjadi salah satu lagi kenangan dalam lipatan kehidupan.
Ini artikel pertama yang ditulis pada tahun ini. Tahun lepas saya jarang menulis.
Artikel terakhir di blog ini pun adalah sekitar April 2024.
Ia disebabkan oleh beberapa peluang peribadi dan penglibatan kerjaya yang membuat saya terpanggil untuk melakukan ‘adjustment’ dalam rutin kehidupan.
Justeru pada Januari 2024, saya mengambil keputusan untuk refresh.. merenung dan memperbaiki penglibatan diri yang bakal menjangkau 5 series ini.
Peralihan Rutin Kehidupan Sepanjang 2024
Alhamdulillah, kini setelah setahun berlalu, saya terpanggil berkongsi serba sedikit pengalaman tersebut pada artikel kali ini.
Ada 3 asbab utama yang mempengaruhi keputusan yang saya ambil ini.
1. Peluang Work From Home Dan Digital Nomad
Penglibatan dalam dunia digital sejak lebih sedekad lalu banyak memberi pengalaman dan membuka pelbagai peluang buat saya dalam industri ini.
Begitu juga penglibatan bersama rakan bersekutu (associates) pemasaran dan perhubungan awam dalam kerjasama agensi dan badan profesional bermula 2018. Ia adalah pilihan yang tepat untuk terus bersama sekutu industri.
Sejak itu saya lebih bebas bekerja secara digital. Masa lebih fleksible.. ada lebih personal time dan masa berkualiti bersama keluarga. Malah ruang saya mengasah minat videografi melalui channel motovlog The2Wheeler di youtube pada 2021.
Baca juga> The2wheeler: Portfolio Videografi 2 Tahun Di YouTube
Ini juga antara punca saya lebih kerap berulang dari Selangor ke Pontian, Johor.
Sejak itu juga, rumah di Pontian kerap menjadi ‘markas’ bekerja, menyiapkan kerja-kerja digital atau content peribadi.. cari idea dan bertenang. Saya selesa buat kerja di sini. Bila bersendirian timbul rasa sayu teringat kenangan membesar di rumah ini.
Tambahan bila ada associates yang mula berpindah, merancang kehidupan atau pelan persaraan di lokasi pilihan yang ideal turut menyuntik kesedaran diri.
Maka, saya mula terpanggil untuk mengubah rutin kehidupan ini.

2. Menghargai Amanah Harta Pusaka
Bandar Pontian adalah hometown saya dibesarkan sebelum keluar melanjutkan pelajaran pada 1994… merantau, bekerja, berkahwin dan menetap di Selangor.
Sejak arwah ayah diserang strok pada 2007, beliau dan ibu tinggal bersama kami di Selangor sehinggalah meninggal dunia pada 2015. Sejak itu, rumah di Pontian tidak berpenghuni. Kami pun cuma balik cuti sesekali sahaja dalam beberapa bulan.
Peluang untuk kerap berulang alik ke Pontian sejak berakhir pandemik turut menambah sentimental value agar lebih menghargai amanah pusaka yang ada. Ia menjadi lokasi yang ideal untuk saya work from home.
Maka, Januari 2024 menjadi titik perubahan.
Saya mengambil keputusan ‘settle down’… kembali ke sini.
Anak-anak yang bekerja dan menuntut di IPT terus menetap di Selangor. Hanya yang bongsu masih bersekolah ikut berpindah bersama isteri dan juga ibu.
Kemudahan digital menjadi penghubung menggantikan pertemuan fizikal yang hanya jika perlu sahaja. Lagipun, perjalanan ke Selangor dan KL bukan lagi perkara asing, malahan ke JB dan Singapura juga mudah.
Maka usaha membaikpulih dan renovasi rumah pusaka ini mula dilakukan secara berperingkat sepanjang tahun 2024. Pada masa artikel ini ditulis, masih ada perincian kerja-kerja kemasan yang masih dilakukan.
Ini juga termasuklah merealisasikan studio peribadi yang komprehensif dan mampu mengurus keperluan kerja serta komunikasi jaringan pendigitalan global.
3. Menggalas Amanah Dan Usaha Dakwah
Alhamdulillah, kembalinya saya ke sini setelah hampir 30 tahun disambut baik jiran tetangga. Kebanyakkannya sudah saling mengenali sejak saya kecil. Sebahagian mereka juga adalah jemaah di surau kariah kami.
Kini, ada masa saya turut diamanahkan mengganti imam atau bilal. Begitu juga untuk sesi membaca Taklim. Saya turut diberi peluang menghadiri 3 kursus anjuran Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Negeri Johor atas saranan imam sepanjang 2024 lalu. Terima kasih atas kepercayaan untuk amanah dan tanggungjawab ini.
Alhamdulillah, peluang kehidupan, ujian dan pelbagai nikmat serta rezeki yang Allah SWT kurniakan adalah patut disyukuri dan menjadi pemangkin untuk berubah.
Oleh itu, selain terus berkongsi pengalaman dalam penglibatan digital, penglibatan peribadi ini juga akan saya usahakan untuk menjadi sebahagian pengisian bermanfaat dan usaha dakwah di blog ini, insyaaAllah.

Salam 2025, Tahun Untuk Terus Istiqamah
Tahun 2025, adalah tahun untuk terus istiqamah.
Antaranya adalah usaha mendalami ilmu agama dan dakwah atas bimbingan yang betul serta melaksanakannya sebagai keutamaan rutin seharian, insyaaAllah.
Ia sepertimana sabda Rasulullah saw; “Barangsiapa yang kehidupan akhirat menjadi tujuan utamanya, nescaya Allah akan meletakkan rasa cukup di hatinya dan menghimpunkan semua urusan untuknya serta datanglah dunia kepadanya dengan hina. Tapi barangsiapa tujuan utama hidupnya adalah dunia, nescaya Allah meletakkan kefakiran di hadapan kedua matanya dan dunia tidak akan datang kepadanya, kecuali sekadar yang telah ditetapkan untuknya.” (HR Tirmidzi).
Perubahan sememangnya memerlukan usaha dan kesabaran serta sokongan circle insan yang ikhlas dalam melakukannya. Malah mengatur perkara yang perlu dan meninggalkan yang tidak juga merangkumi penglibatan di ruang maya ini.
Justeru, salam 2025 buat semua sahabat pembaca.
Doakan saya untuk terus istiqamah dan bertambah baik. Semoga kalian sentiasa beroleh berkat dan dirahmati sepanjang tahun 2025 dan seterusnya.. aamiin.
Baca lagi> Rasulullah saw Ahli Perniagaan Terulung
Featured photo by Tatiana Rodriguez on Unsplash

Berkongsi perspektif industri digital disamping editorial dan dakwah. > PROFILE
Salam 2025 tuan. Alhamdulillah, Allah kurniakan ruang dan peluang. Semoga terus berkongsi perkara bermanfaat dan bersama kita beroleh berkat atas ilmu dunia dan akhirat.. aamiin2