Pemasaran Tanpa Kos Dalam Fasa Endemik – Krisis pandemik yang berlanjutan telah menjadi cabaran besar dalam pelbagai aspek sosial dan ekonomi. Ia turut memberi kesan terhadap sektor perniagaan. Walaupun pelbagai inisiatif telah diketengahkan bagi merangsang pengukuhan ekonomi, ia tetap menjadi cabaran kepada sektor perniagaan untuk terus berdaya saing di pasaran.
Kini, kita telah pun memasuki fasa endemik. Pemasaran menjadi semakin penting dalam membina kekuatan perniagaan untuk terus bersaing maju. Strategi pemasaran perlu terus dipergiat dengan pelbagai kempen periklanan dan promosi secara lebih kreatif dan konsisten dalam memperkukuhkan hubungan pelanggan disamping meneroka potensi pasaran baharu.
Sepanjang penglibatan mendepani cabaran pandemik terhadap pelanggan industri, saya turut melihat pelbagai inisiatif yang cuba diketengahkan. Antara inisiatif pilihan terutamanya bagi usahawan dalam talian, para peniaga mikro dan ejen jualan adalah memanfaatkan peluang digitalisasi ini dengan melaksanakan strategi pemasaran tanpa kos.
Apa Itu Pemasaran Tanpa Kos
Pemasaran tanpa kos bukan lagi perkara yang asing bagi sebahagian besar usahawan, peniaga dan online seller dalam pemasaran digital. Ia merupakan salah satu kaedah memanfaatkan landasan digital seperti laman web dan media sosial untuk membina kredibiliti perniagaan dan penjenamaan secara dalam talian melalui engagement audiens dan menjana pelanggan.
Namun dalam realiti krisis pandemik dan cabaran fasa endemik kini, terdapat beberapa elemen yang difokuskan bagi memastikan perlaksanaan strategi yang dapat memberi impak yang lebih berkesan. Terdapat beberapa elemen yang boleh dipraktikkan untuk pemasaran tanpa kos dalam krisis pandemik ini.
Mencipta Corong Jualan
Media sosial peribadi merupakan platform strategik untuk memulakan pemasaran tanpa kos. Para peniaga boleh manfaatkan potensi media sosial seperti Facebook, Instagram, Linkedin, Twitter, TikTok atau YouTube bagi membina kredibiliti diri, menjana pelanggan dan prospek pasaran baru.
Memanfaatkan potensi media sosial peribadi sebagai corong jualan ibarat menjadikan platform tersebut sebagai medan komunikasi kepada prospek dan pelanggan dalam menjayakan hasrat perniagaan. Sudah semestinya, ia memerlukan displin dan komitmen terhadap masa, idea dan kreativiti.
Peniaga perlu memahami perbezaan teknik ‘storytelling & copywriting‘ dalam mencipta kandungan status-status di media sosial bagi menarik minat audiens di corong jualan. Ia penting untuk membina establishment dan menarik minat audiens terhadap produk atau perkhidmatan, seterusnya menjana prospek dan pelanggan serta membina hubungan pelanggan setia.
Status-status Penceritaan turut dikenali sebagai Storytelling. Ia merupakan teknik Softselling, iaitu kaedah penulisan atau video yang bersifat tidak menjual, tetapi mampu menarik minat audiens melalui perkongsian tips, informasi serta pengalaman yang releven dengan perniagaan.
Naskah Iklan atau Copywriting pula adalah kaedah Hardselling, iaitu status iklan atau promosi yang menjurus kepada menjual. Teknik ini tidak digalakkan secara kerap kerana audiens media sosial pada kebiasaannya kurang berminat dengan status-status menjual. Namun ia boleh dipraktikkan mengikut situasi tertentu yang bersesuaian dengan masa dan emosi pasaran.
Peniaga perlu bijak mengadunkan kedua-dua teknik ini dalam menjana prospek dan pelanggan. Selain itu, pastikan membalas komen dan aktif berkomentar di media sosial bagi membina engagement dua hala yang lebih efektif.
Manfaatkan Komunikasi Digital
Integrasi platform komunikasi seperti Whatsapp dan Telegram turut membantu dalam membina pelanggan melalui kaedah Penceritaan dan Naskah Iklan. Memanfaatkan kemudahan Status, Blast dan Group terbukti membantu ramai usahawan menjana pelanggan dengan baik.
Pautan Whatsapp atau Telegram boleh juga disertakan pada status-status di corong jualan. Melalui pemasaran kandungan yang dikongsikan bersama pautan tersebut menjadi salah satu elemen dalam menarik audiens yang berminat untuk berhubung secara terus. Secara tidak langsung ia membantu perhubungan komunikasi yang lebih personal dalam menjana pelanggan.
Platform komunikasi digital juga boleh dijadikan landasan fokus pasaran melalui Whatsapp Group bersama pelanggan setia atau menyertai kumpulan komuniti setempat bagi meluaskan lagi prospek lokaliti pasaran. Ia turut membantu sebagai salah satu sumber menjana pelanggan dan membina pengkalan data pelanggan bagi memperkukuh hubungan pasaran.
Siaran Video Secara Langsung
Kini, semakin ramai peniaga yang mula bertindak menyiarkan kandungan video secara langsung untuk membina establishment perniagaan dan menjana pelanggan terhadap produk atau khidmat yang dipasarkan. Facebook Live dan Instagram Live menjadi pilihan atas potensi menarik audiens dengan berkesan.
Siaran video secara langsung juga menjadi landasan kepada usahawan dan peniaga, malah para profesional dalam membina reputasi dan kredibiliti pasaran melalui pendekatan yang lebih personal. Kandungan tersebut juga mudah disebarkan dan diulangsiar di platform media sosial serta saluran komunikasi digital dalam usaha meluaskan capaian pasaran.
Memanfaatkan Video Live juga umpama anda berniaga secara terus dengan audiens melalui interaksi dan perhubungan yang ‘genuine’ kepada prospek dan pelanggan.
Memperkasa Pasaran Fasa Endemik
Justeru itu, memanfaatkan strategi asas pemasaran digital tanpa kos merupakan sebahagian strategi yang patut dimanfaatkan oleh para peniaga dalam pengukuhan kredibiliti keusahawanan dan meluaskan lagi potensi pasaran pada fasa endemik ini.
Sedang kebanyakkan masyarakat mula keluar merentas negeri, bercuti mahupun menjalankan aktiviti dan urusniaga secara fizikal, inilah masanya para peniaga perlu lebih giat memperkukuhkan hubungan pelanggan dan kredibiliti digital dengan lebih strategik dan terancang.
Pemasaran tanpa kos juga membantu dalam pengukuhan penjenamaan dan authoriti pasaran untuk kemajuan jangka panjang perniagaan era digital kini.
Baca lagi: 3 Asas Mengurus Integrasi Pemasaran Digital

A non stereotypical digitalpreneur in e-commerce and media relations industry, a content writer, a video creator and a motovlogger. > PROFILE