Assalamualaikum. Sepanjang lebih sedekad terlibat sepenuh masa dalam pelbagai inisiatif digital melalui kerjasama agensi dan rakan industri, saya dapat melihat perkembangan digital dalam gaya hidup dan cara kerja masyarakat global, sehinggalah kemunculan budaya kerja secara hibrid di Malaysia ini.
Pada awal dahulu, dunia internet ini sekadar ruang informasi dan rujukan maklumat. Kemudiannya, muncul budaya komunikasi internet apabila pelbagai aplikasi mula mendominasi peranti digital sebagai medium pilihan ramai yang amat fleksible.
Seterusnya tercetuslah era lambakan maklumat sehingga ramai orang terdorong menjadikan internet bukan sekadar mencari informasi dan komunikasi, tetapi platform keperluan yang memudahkan pelbagai urusan pekerjaan seharian.
Kini, perkembangan digitalisasi ini telah mendorong kepada kemunculan budaya kerja secara hybrid. Sama ada usahawan, peniaga, kakitangan syarikat atau freelancer, ia mempengaruhi budaya bekerja di pelbagai sektor industri.

Apa Itu Hybrid Works Model
Model kerja hibrid (Hybrid Work Models) menjadi antara trend cara bekerja dalam normalisasi digital hari ini.
Terdapat pelbagai label yang diberikan seperti Digital Nomad, Remote Worker atau Work From Home (WFH) kepada mereka yang terlibat dalam scene kerjaya seperti ini.
Model kerja hybrid merupakan rangka pekerjaan fleksibel yang menggabungkan komitmen bekerja secara jarak jauh dan dalam pejabat (remote and office work). Ia membolehkan seseorang itu bebas mengatur masa dan lokasi yang sesuai untuk bekerja berdasarkan keutamaan tugas dan peribadi.
Cara ini membantu sesebuah organisasi mengekalkan produktiviti dan objektif perniagaan dengan menawarkan autonomi kepada para pekerja atau rakan sekutu industri dengan etika kerja yang lebih profesional terhadap keseimbangan hidup.
Malah, apabila sesebuah syarikat dan organisasi mempraktikkan pengaturan kerja secara hibrid, ia mampu mengurangkan ‘overhead cost’ yang terkait dengan kehadiran kakitangan secara sepenuh masa ke pejabat disamping terus mengembangkan prospek perniagaan melalui hubungan kerja yang lebih fleksibel.
Bagi saya, bekerja secara hibrid ini memudahkan. Ia juga menjimatkan masa dan kos perjalanan dalam memenuhi pelbagai keperluan kerjasama rakan industri dan klien di mana sahaja asalkan ada liputan internet.
Model hibrid memudahkan pekerjaan melalui perantaraan digital.

Komitmen Bekerja Secara Hibrid
Dari satu aspek, budaya kerja hibrid dilihat santai dan trendy.
Namun ia juga memerlukan perancangan dan displin.
Bekerja secara hibrid memberikan anda kebebasan bekerja. Namun ada masa bila berasa terlalu bebas mengikut keselesaan sendiri, anda boleh jadi malas untuk mula bekerja. Displin memainkan peranan penting untuk produktiviti jangka panjang.
Komitmen bekerja secara konsisten perlu dijaga. Pengetahuan pengurusan digital yang sesuai dengan sektor pekerjaan juga penting agar urusan kerja dapat dilaksanakan dengan lancar dan memudahkan semua pihak yang terlibat sama.
Selain itu, membina prasarana digital peribadi juga perlu. Ia satu ruang kerja (studio) yang selesa dengan sistem komputer dan aplikasi berdasarkan keperluan kerjaya. Antara aplikasi yang biasa diperlukan adalah seperti video conferencing, live streaming, video editing, reka grafik, AR dan VR atau aplikasi kerja digital yang seumpamanya.
Dalam konteks Malaysia, model kerja hibrid semakin mempengaruhi trend pasaran pekerjaan dengan ketara menjelang 2025 ini. Agenda transformasi digital juga telah menarik banyak organisasi untuk menerima pendekatan fleksibel ini.
Malah semakin ramai pemain digital yang mengatur studio peribadi dikelengkapi pengaturan bersistematik sebagai komitmen kerjaya secara hibrid dalam normalisasi digital hari ini.
Photo by Muhammad Raufan Yusup on Unsplash, Sam McGhee on Unsplash & Roberto Nickson on Unsplash
Baca lagi > Integrasi Pemasaran Digital Era IoT

Seorang Digitalpreneur dan Content Writer. Berkongsi perspektif industri digital disamping jurnal peribadi, editorial dan dakwah. > PROFILE