Assalamualaikum. Syukur kehadrat Illahi kerana dengan izinnya, telah berlangsung Muzakarah Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian yang diadakan pada 24 Februari 2025 di Masjid Bandar Pontian, Johor.
Muzakarah anjuran Persatuan Pegawai Masjid Dan Surau Daerah Pontian (PPMSDP) dihadiri oleh imam, bilal dan ahli jawatankuasa yang mewakili masjid atau surau sekitar daerah Pontian. Ia juga muzakarah yang pertama diadakan bagi tahun 2025 ini.
Kali ini, saya diberi kepercayaan lagi untuk turut hadir bagi mewakili Surau Kampung Permata yang merupakan surau di kariah kami.



Pengisian Muzakarah PPMSDP
Ini merupakan program PPMSDP ke-4 yang telah saya hadiri sejak 2024. Amanah untuk turut berperanan mengimarah surau di kariah kami juga dapat saya tambahbaik melalui pelbagai input yang disampaikan melalui program seperti ini.
Muzakarah kali ini mengisi 2 slot. Sesi slot pertama disampaikan oleh As-Seikh Tuan Haji Adam bin Ibrahim yang merupakan Kadi Daerah Pontian. Pada sesi ini, beliau telah mengijazahkan 2 petikan hadis kepada peserta yang bersanad dari tuan guru dan para ulama sehinggalah menyampai daripada para sahabat dan Rasulullah saw.
Pada sesi kedua disampaikan oleh Ustaz Haji Montalib bin Timin, Penyelia Al Quran Daerah Pontian. Pengisian beliau menjelaskan dan menekankan para peserta untuk menitikberatkan tajuid dah makhraj huruf serta sebutan dalam setiap ayat-ayat suci yang dibaca dalam apa jua perkara terutamanya dalam solat.
Selain itu, semua peserta juga turut dimaklumkan oleh pegawai agama dari Pejabat Kadi Daerah Pontian tentang beberapa perkara penting yang melibatkan urus tadbir masjid dan surau di daerah Pontian dan Negeri Johor.

Alhamdulillah, muzakarah berakhir sekitar jam 12 tengah hari dengan pelbagai input pengisian yang bermanfaat. Selain itu, dapat juga berkongsi maklumat dan membina hubungan keakraban dengan lebih ramai para imam, bilal dan pentadbir masjid dan surau di sekitar daerah Pontian ini.
Apa yang lebih penting, setiap ilmu dan maklumat yang disampaikan adalah dibawah tanggungjawab dan urus tadbir rasmi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ). Maka tiada kesangsian untuk dipraktik dan diamalkan serta disampaikan kepada yang lain sebagai satu amanat dan usaha dakwah yang berterusan, inshaaAllah.
Ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud;
“Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah SWT dan taatlah kamu kepada Rasulullah saw serta kepada ulil amri (orang yang berkuasa dikalangan kamu)”
– Surah An-Nisa ayat 59.
Baca lagi: Istiqamah Dalam Amanah Kehidupan

Seorang Digitalpreneur dan Content Writer. Berkongsi perspektif industri digital disamping jurnal peribadi, editorial dan dakwah. > PROFILE