Masjid Lapan Kubah, Masjid 8 Kubah, Masjid Rusia Terengganu

Assalamualaikum. Masjid Lapan Kubah antara lokasi yang tertarik untuk saya kongsikan pada artikel kali ini. Antara lokasi unik yang patut anda kunjungi sekiranya berkunjung ke negeri Terengganu.

Jika diikutkan, memang banyak pengalaman yang mahu turut dikongsikan di blog ini sejak turut bergiat aktif dalam jurnal motovlog. Kini, masa menulis juga jadi terhad dengan komitmen hakiki disamping masa senggang yang kini lebih terarah kepada penciptaan jurnal video di YouTube agar terus cakna terhadap peralihan digital.

Namun setiap kelapangan masa, pasti saya akan terus menulis atas minat dan penglibatan lebih 12 tahun yang telah banyak menyumbang pengalaman dalam hubungan industri digital ini. Maka, antara penglibatan jurnal video The 2Wheeler meneroka laluan Pantai Timur baru-baru ini telah membawa kami ke Masjid Lapan Kubah atau turut dikenali dengan Masjid Rusia ini.

Masjid Lapan Kubah a.k.a Masjid Rusia

Masjid Lapan Kubah ini terletak di tengah-tengah sawah padi di Kampung Lapan Kotak, Jerteh, Terengganu. Ia mendapat jolokan sebagai Masjid Rusia kerana senibinanya luarannya yang diinspirasikan daripada senibina St Basil Catheral di Moscow, Rusia.

Masjid ini mula dibuka pada tahun 2017 dan dibina dengan kos pembinaan sebanyak RM 4 juta menerusi derma serta sumbangan orang ramai bagi menggantikan masjid kayu sebelum ini yang telah pun mencecah usia lebih 100 tahun. Ia dibina menggunakan arkitek dan 100 peratus tenaga tempatan di atas tanah bekas tapak sawah padi dan boleh menampung seramai 500 jemaah dalam satu-satu masa.

Selain daripada itu, masjid ini juga lengkap dengan kemudahan untuk persinggahan musafir menunaikan solat termasuk kemudahan mesin air minum serta tempat duduk untuk berehat melepaskan penat. Tidak ketinggalan juga, turut disediakan tempat meninjau untuk orang ramai mengabadikan gambar kenangan di sini. Masjid ini tersenarai antara masjid ikonik yang menjadi tumpuan pelancong yang terdapat di negeri Terengganu.

Masjid Lapan Kubah, Masjid 8 Kubah, Masjid Rusia Terengganu img2
Masjid Lapan Kubah - Masjid 8 Kubah, Kampung Lapan Kotak, Masjid Rusia Terengganu
Masjid Lapan Kubah - Masjid 8 Kubah, Masjid Rusia Terengganu

Alhamdulillah, ini juga menjadi salah satu pengalaman berharga buat kami dalam mengabadikan jurnal video kembara bermotor ke ke Pantai Timur dan negeri Terengganu ini.

Persinggahan kami bertujuan untuk menunaikan solat jamak dan berehat seketika semasa dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Terengganu. Kesempatan masa yang ada dapat kami manfaatkan meninjau persekitaran luar dan dalam masjid yang berdiri gah di tengah-tengah sawah padi Kampung Lapan Kotak ini.

Suka untuk saya maklumkan juga bahawa Masjid Lapan Kubah kini sudah boleh menerima sedekah secara online melalui aplikasi Sujood. Oleh itu, anda bolehlah infaqkan sumbangan anda secara terus melalui link yang disediakan ini > https://masjidlapankubahbesut.sujood.net/

Selain itu, sebahagian jurnal video ke Masjid Lapan Kubah dalam perjalanan kami dari Kelantan ke Kuala Terengganu juga boleh anda tonton di sini > Ride Pantai Timur (Masjid 8 Kubah).

Jika anda ke Terengganu jangan lupa singgah ye 🙂

Baca lagi: Masjid Buluh Gua Musang Senibina Yang Unik

2 Thoughts to “Masjid Lapan Kubah, Keunikan Masjid Rusia Di Terengganu”

  1. paridah ishak

    cantik masjid lapan kubah rasanya kak dh pernah sampai sini

  2. Baru tahu ada masjid ni. Lepas ni jika ke Terengganu, bolehlah saya singgah dengan keluarga 🙂

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.