ECERDC, MyKasih, ECER,Pendidikan 

Pembangunan Modal Insan Komuniti Orang Asli ECER

Taraf hidup masyarakat Orang Asli di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), telah meningkat dengan ketara susulan usaha bersepadu yang dilaksanakan bagi memastikan mereka tidak tersisih dalam program transformasi negara selama ini.
Pelan pembangunan modal insan yang inklusif di kampung-kampung Orang Asli, termasuk program pemerkasaan pendidikan dan kemahiran, serta pewujudan pekerjaan melalui inisiatif pembangunan pelancongan lestari di Tasik Chini, Pekan, telah mengubah kehidupan masyarakat setempat, terutamanya komuniti Orang Asli di kampung-kampung berdekatan.
ECER-MyKasih, ECERDC,

Program empower ECER-MyKasih

Setakat ini, sebanyak 118 pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Cini telah menerima manfaat daripada program empower ECER-MyKasih, usahasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Yayasan MyKasih.
Program ini bertujuan membantu pelajar-pelajar Orang Asli mempertingkatkan prestasi akademik melalui penyediaan kelas-kelas tuisyen dan motivasi secara percuma. Tambahan, pelbagai kemudahan di SK Tasik Cini turut dinaik taraf sebagai sebahagian daripada program holistik dan inklusif bagi menyokong dan membantu pelajar-pelajar Orang Asli.

“ECERDC telah memperkenalkan Program Latihan Akademik empower ECER kepada komuniti Orang Asli di Tasik Chini pada tahun 2016, dengan mengambil kira tuntutan gaya hidup dan keperluan pelajar-pelajar Orang Asli yang berbeza. Kami sedia maklum mengenai cabaran-cabaran yang mungkin menjadi penghalang untuk mereka mendapat pendidikan yang berkualiti. ECERDC telah menjalinkan kerjasama dengan Yayasan MyKasih untuk menjaga kebajikan dan keperluan para pelajar secara holistik agar mereka lebih fokus dalam pelajaran. Kami percaya, dengan memupuk kecemerlangan di sekolah, tiada pelajar Orang Asli akan tergolong dalam komuniti berpendapatan rendah dan tersisih daripada menerima manfaat transformasi sosioekonomi ECER pada masa akan datang.” – Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John.

Pelancaran program empower ECER-MyKasih telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA Negeri, YB Dato’ Sri Abu Bakar Bin Haji Harun, baru-baru ini. Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MyKasih, Datuk Yaacob Md Amin.
empower ECER-MyKasih telah menaik taraf asrama Villa Gumum di SK Tasik Chini pada tahun 2017 bagi menyediakan penginapan lebih selesa untuk pelajar-pelajar Darjah 6 yang menginap sebagai persediaan menghadapi peperiksaan UPSR. Kehadiran dan penglibatan pelajar juga bertambah baik setelah asrama dinaiktaraf kerana mereka tidak perlu lagi mengharungi perjalanan yang panjang dengan menaiki bot atau gagal ke sekolah semasa cuaca buruk melanda.
ECERDC dan Yayasan MyKasih turut melengkapi bilik-bilik darjah SK Tasik Cini dengan peralatan pembelajaran digital penting seperti komputer, komputer riba, pencetak dan bahan pengajaran yang lain. Inisiatif ‘21st Century Classrooms’ telah meningkatkan literasi digital dan teknologi para pelajar Orang Asli secara beransur-ansur, disamping meningkatkan dan mengubah pengalaman pembelajaran mereka dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif.
Para pelajar juga diberi elaun bulanan RM60 melalui kad pintar MyKasih ‘Love My School, membolehkan mereka membeli makanan dari kantin sekolah serta bahan pembelajaran dari kedai buku. Memandangkan sebilangan besar pelajar berasal daripada keluarga berpendapatan rendah, bantuan kewangan tersebut amat membantu mengurangkan beban kewangan samping menjaga kebajikan para pelajar.
Yayasan MyKasih telah menyumbang sebanyak RM344,500 bagi menyokong para pelajar Orang Asli di SK Tasik Cini sejak program tersebut diperkenalkan pada Jun 2017.
ECER-MyKasih, ECERDC,

Program empower ECER dan entrepreneur ECER

Bagi memastikan lebih ramai pelajar Orang Asli mempunyai masa depan yang lebih baik, program empower ECER-MyKasih akan diperluaskan kepada 13 sekolah Orang Asli di daerah Pekan, Bera, Raub, Bentong, Cameron Highlands, Lipis dan Rompin di Pahang pada tahun 2018, sekaligus memberi manfaat kepada lebih daripada 2,600 orang pelajar.
ECERDC juga telah melaksanakan program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER khusus bagi orang dewasa dan belia Orang Asli di Tasik Chini. Kursus-kursus ditawarkan seperti Anyaman Mengkuang Bercorak dan Penyelenggaraan Motosikal yang direka khas untuk memenuhi keperluan kehidupan Orang Asli serta memberi peluang kepada mereka untuk meraih pendapatan yang lebih tinggi daripada aktiviti-aktiviti pelancongan di Tasik Chini. Seramai 24 peserta dari kawasan itu sedang mengikuti kursus-kursus tersebut.
Program entrepreneur ECER juga telah menyaksikan banyak kisah kejayaan di kalangan peserta Orang Asli. Salah seorang ialah Encik Baharim Bin Sunta yang dahulu meraih pendapatan RM200 sebulan melalui penjualan ukiran kayu. Selepas mendapat bimbingan di bawah program entrepreneur ECER-SIRIM, perniagaannya semakin bertambah baik.
Beliau kini memperoleh pendapatan purata RM7,500 sebulan dan mengambil lima orang pekerja untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. Hasil kerja tangan Baharim turut dipamerkan di Seni Kome di Genting Highlands dan pelanggannya termasuk pelancong-pelancong asing dan individu-individu kerhormat.
Sekitar 5,300 Orang Asli merentasi ECER, termasuk lebih daripada 1,250 peserta Orang Asli di Pahang telah mendapat manfaat daripada program-program pembangunan modal insan empower ECER dan entrepreneur ECER. Program-program tersebut kini dilaksanakan di 29 lokasi di wilayah ECER.

Related posts

2 Thoughts to “Pembangunan Modal Insan Komuniti Orang Asli ECER”

  1. Alhamdulillah syukur sangat-sangat…sekarang tiada lagi isu yang kurang sedap di dengar….sama-sama menikmati dan dihargai..

  2. tiada istilah terpinggir selepas ini…

Leave a Comment

CommentLuv badge