Program Geran Facebook Untuk PKS

Facebook Sedia Geran RM 3.2 Juta Bantu PKS Di Malaysia – Melihat cabaran ekonomi yang terus dihadapi perniagaan akibat pandemik COVID-19, Facebook Malaysia melancarkan Program Geran Perniagaan Kecil atau ‘Small Business Grant’. Menerusi program ini, geran berjumlah RM3.2 juta akan ditawarkan bagi membantu meringankan beban lebih 300 Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan.

Berdasarkan State of Small Business Report, sebuah kajian mengenai perniagaan kecil oleh Bank Dunia, Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan Facebook, mendapati bahawa hampir 58% PKS yang ditinjau di Malaysia bimbang akan aliran tunai bagi bulan-bulan akan datang. PKS merupakan tulang belakang ekonomi negara yang merangkumi 38.9% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, menyumbang 48.4% peluang pekerjaan serta 17.9% aktiviti eksport di Malaysia.

“PKS merupakan nadi utama kepada komuniti dan tulang belakang ekonomi negara dan mengalami cabaran yang paling sukar akibat pandemik COVID-19. Kami menyedari bahawa sokongan kepada mereka dalam tempoh ini dan masa akan datang adalah amat penting untuk ekonomi negara. Oleh itu, kami di Facebook akan terus menyatukan persumberan kami dan terus membangunkan alatan digital untuk membantu PKS mengemudi perniagaan dalam norma baharu dan membangun dengan lebih kukuh pasca pandemik ini,” kata Nicole Tan, Pengarah Negara Facebook Malaysia.

Program Geran Facebook Untuk PKS

Setiap geran yang akan diberikan berjumlah RM 9,400 merangkumi wang tunai sebanyak RM 5,900 dan kredit iklan pilihan berjumlah RM 3,500. Permohonan akan dibuka dari 6 Oktober hingga 12 Oktober. Perniagaan tidak perlu mempunyai akaun Facebook untuk membuat permohonan.

Untuk layak membuat permohonan, perniagaan tersebut mestilah mempunyai 2 hingga 50 orang pekerja, menjalankan perniagaan lebih daripada setahun dan mengalami cabaran akibat pandemik COVID-19.

State of Small Business Report juga mendapati bahawa PKS telah berusaha untuk beralih ke perniagaan berasaskan digital dengan beroperasi secara atas talian. Laporan tersebut menunjukkan bahawa 44% PKS yang beroperasi di Facebook melaporkan bahawa lebih 25% daripada jualan mereka telah dibuat secara digital dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Membantu Perniagaan Kecil Meningkatkan Kemahiran Digital

Bagi membantu PKS mempercepatkan transformasi dalam menangani perubahan tingkah laku pengguna, Facebook akan terus membangunkan alatan digital baharu bagi memudahkan mereka mengadaptasi dan beralih ke landasan digital:

Facebook Shops – membantu perniagaan tidak kira saiz untuk membuka kedai atas talian dengan percuma dan boleh diakses dengan mudah melalui Facebook dan Instagram pada bila-bila masa.

Facebook Business Suites – sebuah antara muka rentas aplikasi atau “cross-app interface” baharu yang membantu perniagaan mengurus halaman atau profil di semua aplikasi di bawah Facebook dengan menggunakan alatan percuma dan berbayar hanya menerusi satu platform. Melalui aplikasi ini, para peniaga boleh membuat kiriman di Facebook dan Instagram secara serentak, serta mengurus dan menerima mesej, notifikasi dan pemberitahuan di platform yang sama. Melalui kemudahan “insights” di Facebook dan Instagram, peniaga juga dapat mengenalpasti keberkesanan kiriman dan mempelajari apa yang menarik untuk pelanggan.

Antara contoh perniagaan yang menangani perubahan tingkah laku pengguna adalah kolaborasi antara Philips dan peruncit tempatan Senheng dalam memanfaatkan aplikasi Collaborative Ads untuk meningkatkan penjualan produk di kedai. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan, Philips dan Senheng telah segera beralih ke e-dagang dengan mengalih kempen jualan atas talian.

Philips dan Senheng memuat naik katalog produk yang terdapat di cawangan-cawangan Senheng menggunakan format Collaborative Ads untuk memaparkan produk secara automatik. Apabila pengguna klik pada telefon pintar, kedai atas talian Senheng akan dipaparkan dalam aplikasi tersebut bagi menawarkan pengalaman membeli-belah yang lancar.

Dengan mengalihkan fokus kepada e-dagang menggunakan Collaborative Ads Facebook, Philips berjaya meningkatkan jualan bersama Senheng. Kempen atas talian tersebut telah berjaya mencapai seramai 1.3 juta orang, manakala pembelian pula telah meningkat sebanyak 4.6 kali ganda berbanding kempen-kempen sebelumnya.

Paling penting, mereka terus dapat berhubung dan berinteraksi dengan pelanggan dan pada masa yang sama, masih mematuhi penjarakan sosial.

Info lanjut kelayakan dan cara memohon, sila layari: FB: Program Geran Perniagaan Kecil.

Baca lagi: Krisis Covid-19 Mengajar Usahawan Erti ‘First-things-first’

2 Thoughts to “Facebook Sedia Geran RM 3.2 Juta Bantu PKS Di Malaysia”

  1. Peluang mengembangkan perniagaan n memajukannya dengan bantuan facebook wajar direbut pengusaha

  2. peluang keemasan bagi pengusaha PKS yang terjejas dengan covid.. perkongsian yang baik.
    Pha Is recently posted…Antara Bobber dan SportbikeMy Profile

Leave a Comment

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.