ECERDC Bantu Usahawan ECER Mendepani Normal Baharu

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah meningkatkan usaha bagi mengurangkan impak ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan membantu usahawan mengadaptasi perniagaan mendepani ‘normal baharu’.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk program latihan dan peningkatan kemahiran bagi usahawan mikro dan komuniti B40 di ECER menjalankan perniagaan serta menawarkan produk dan perkhidmatan secara atas talian.

ECERDC juga telah melaksanakan program bantuan segera COVID-19 dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor serta rakan-rakan strategik dan institusi kewangan bagi meringankan impak kewangan akibat krisis global ini.

Inisiatif Digital ECERDC

Walaupun ECERDC berdepan cabaran dan pandemik yang mengganggu kemajuan ekonomi, namun ramai usahawan telah menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Kebanyakan peserta empower ECER dan entrepreneur ECER kini berjaya memanfaatkan platform digital untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Sebelum PKP, kebanyakan usahawan ECER menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk. Kini mereka beralih kepada platform pemasaran digital domestik dan antarabangsa seperti Shopee, Lazada dan platform penghantaran seperti OdaMakan, GetRunner dan Sama Sama Lokal oleh Maybank. Selain mendaftar sebagai ‘seller’, ECERDC juga menggalakkan mereka menjadi ‘rider’.

Setakat ini, seramai 500 usahawan sudah menjalankan perniagaan menerusi Shopee dan Lazada, serta menyasarkan seramai 1,300 usahawan menjelang September. Seramai 566 usahawan pula telah berdaftar dengan platform penghantaran dan ECERDC menyasarkan 800 lagi penjual menjelang September.

ECERDC Bantu Usahawan ECER Mendepani Normal Baharu
Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC menyampaikan taklimat kepada YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berhubung pembangunan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur bertempat di Taman Industri Halal Pasir Mas, Kelantan

ECERDC juga meningkatkan kemahiran para usahawan melalui latihan e-dagang dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). ECERDC turut berkolaborasi dengan eLokal bagi membantu para usahawan yang mempunyai pengetahuan digital yang terhad.

Pada masa yang sama, ECERDC menerusi kolaborasi rakan-rakan strategik turut mengadakan sesi perkongsian pengetahuan dalam bentuk webinar bagi meningkatkan kesedaran dan membantu usahawan beralih kepada perniagaan berasaskan digital.

Baru-baru ini, sebuah bengkel dengan kerjasama MDEC telah diadakan untuk membantu usahawan menjadi penjual dan penghantar bagi platform-platform penghantaran. Bengkel ini berjaya dihadiri lebih 200 peserta dan merupakan sesi webinar pertama daripada empat siri yang akan berlangsung sehingga awal Julai.

Memberi Sokongan Rakyat Dan Pelabur Dalam Normal Baharu

Selain membantu rakyat melangkah masuk ke era digital, ECERDC turut melaksanakan bantuan segera jangka pendek untuk mengurangkan impak kewangan yang dihadapi usahawan mikro, PKS dan pelabur yang terjejas akibat pandemik COVID-19 di ECER.

Program bantuan segera bawah pakej rangsangan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) turut dilancarkan dengan kadar faedah pinjaman pada hanya 3.5%. ECERDC dengan kerjasama Agrobank dan Maybank, akan membayar 50% daripada kadar faedah ini bagi membantu usahawan mikro dan PKS yang dibangunkan.

Selain itu, ECERDC turut membantu usahawan mikro untuk memohon Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (PRIHATIN). Usaha ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat rakan strategik seperti Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

ECERDC dan rakan-rakan strategik turut bekerjasama dengan usahawan mikro tempatan dalam membantu pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi membolehkan mereka memohon bantuan kerajaan.

“Kami akan terus mengenal pasti peluang kerjasama dengan semua rakan strategik bagi meningkatkan kemahiran komuniti dan merapatkan jurang digital di ECER. Kami juga akan terus melancarkan lebih banyak program dan inisiatif bagi membantu rakyat di ECER pulih daripada impak ekonomi pandemik COVID-19,” – Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC.

Baca lagi: Menara Kuantan 188 Mercu Tanda Ikonik ECER

2 Thoughts to “ECERDC Bantu Usahawan ECER Adaptasi Normal Baharu”

  1. Moga ekonomi negara semakin berkembang dengan pelbagai rangsangan pihak swasta dan kerajaan walau digeluti masalah covid19

  2. AvatarMarzuki Rmn

    Sekarang dah mula PKPP, boleh meneruskan usaha dgn lebih giat lagi. Normal baharu, semangat baru… in shaa Allah ada jln kejayaan yg lebih baik… stay safe.

Leave a Comment

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.